Monday, February 8, 2010

GAGAL DI KERPAN, KINI KE SETIU

Keindahan dan kedamaian hutan paya di Setiu ini akan lenyap dan tinggal kenangan tidak lama lagi lantaran kerakusan manusia mengejar keuntungan

Masihkah kita ingat dengan sebuah syarikat bernama Blue Archipelago Bhd, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) yang pernah mengorbankan 463 hektar tanah sawah di Kerpan, Air Hitam Kedah kira-kira 30 tahun lalu dengan tujuan untuk dibina projek Ladang Ternakan Udang Harimau walaupun menerima bantahan hebat para petani. Projek yang dibina diiringi rintihan dan air mata para petani Kerpan akhirnya mengalami kegagalan total dengan kesan tinggalan yang bukan sedikit samada dari segi mata pencarian para petani, kemusnahan tanah sawah dan seterusnya kesan alam sekitar.

Kini sejarah pahit penduduk Kerpan bakal berulang semula, cuma di lokasi yang berbeza. Sejumlah kira-kira 1,200 hektar tanah bermula di Kampung Nyatoh hingga ke Kampung Banggol di dalam DUN Permaisuri akan dimajukan dengan Projek Taman Akuakultur Udang Bersepadu atau lebih dikenali sebagai 'Integrated Shrimp Aquaculture Park (i-SHARP)' yang bernilai RM200 juta. "Kira-kira 500 peluang pekerjaan akan diwujudkan dan kita akan pastikan 90% akan diisi oleh anak tempatan." Itulah janji manis Dr Shahridan Faiez, CEO Blue Archipelago. Pejabat Tapak Blue Archipelago

Projek penternakan udang di kawasan seluas 1,200 hektar yang merangkumi kawasan Kampung Nyatoh dan Kampung Banggol, Permaisuri akan dijalankan dalam tiga fasa, dengan fasa pertama dimulakan di tapak seluas 400 hektar. Antara kawasan tanah yang terlibat adalah tanah yang telah dibahagikan oleh kerajaan PAS Terengganu kepada rakyat yang berhak tetapi telah dirampas kembali oleh kerajaan BN pimpinan Idris Jusoh. Pelan Lokasi Projek

Fasa 1 di Nyatoh sudah bermula. Maklumat dari lokasi memaklumkan kerja-kerja menambun tanah telah hampir siap dijalankan dan jalan ke tapak projek telah siap dibina. Fasa 2 di Banggol juga sudah siap dari segi kerja-kerja ukur tanah. Sumber informer di lokasi juga memaklumkan pihak pemaju telah mengadakan survey untuk melihat penerimaan penduduk terhadap projek ini dengan janji penduduk akan mendapat peluang pekerjaan. Reaksi pelbagai diterima daripada masyarakat setempat dengan majoriti meragui kebenaran janji manis pihak pemaju terbabit berbanding kesan buruk yang akan mereka terima. Apatah lagi Blue Archipelago mempunyai rekod kegagalan lampau di Kerpan walaupun gah dicanangkan sebanyak 10,000 hingga 12,000 tan udang putih dan 5,000 tan udang harimau yang menepati piawaian pasaran antarabangsa dijangka dapat dihasilkan setahun dengan jualan di tahap pengeluaran optimum pula dijangka melebihi RM100 juta setahun.
Jalan Masuk Ke Tapak Projek

Di samping janji manis dengan kewujudan peluang pekerjaan yang masih terlalu samar, saya menggariskan beberapa kesan alam sekitar yang akan timbul walaupun pihak pemaju mendakwa mereka telah mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar tetapi kenyataan Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan WWF - Malaysia menyatakan sebaliknya.

Pertama, kawasan yang akan dibuat kolam adalah kawasan paya bertanah rendah yang akan dilimpahi air Sungai Chaluk ketika musim banjir. Dari segi ekosistem, kawasan paya bertanah rendah dikategorikan sebagai kawasan takungan air. Lantas, untuk mengelakkan kawasan projek bernilai jutaan ringgit ini ditenggelami air, kerja-kerja tebus guna tanah perlu dilakukan supaya kolam udang berada di paras yang lebih tinggi dari aras banjir. Natijahnya, kawasan rendah akan lenyap. Bila tiada lagi kawasan rendah sebagai tempat takungan air, menyebabkan aliran banjir akan beralih ke kawasan sekitar yang didiami penduduk. Lantas, ancaman banjir yang serius akan berlaku.

Tebus guna kawasan hutan paya gelam juga mengakibatkan tempat pembiakan pelbagai spesis ikan air tawar akan tertimbus.

Projek ini juga akan mengakibatkan kemusnahan kepada kira-kira 700 hektar kawasan paya hutan gelam. Di dalam 'Rancangan Tempatan Daerah Setiu' (Setiu Local Plan) 2003 - 2015, kerajaan negeri telah menetapkan bahawa kawasan tanah lembah adalah kawasan sensitif alam sekitar atau Environmentally Sensitive Area (ESA) dan Setiu Local Plan telah menetapkan dimana hanya aktiviti rekreasi yang dibenarkan untuk dilakukan di kawasan terbabit. Soalnya siapakah yang begitu hebat berkuasa sehingga boleh mengenepikan ketetapan yang telah dibuat oleh kerajaan mereka sendiri.

Cadangan pihak pemaju untuk menyalurkan sisa buangan kolam udang ke Sungai Chaluk adalah sangat serius ke arah pencemaran dan kemusnahan ekosistem. Mengambil kira projek ini akan menggunakan air laut sepenuhnya, menyalurkan sisa buangan kolam ke sungai akan mengakibatkan pembuangan sisa garam dengan kapasiti diluar kemampuan sungai untuk meneutralkannya khususnya pada musim kemarau.

Projek tersebut juga tidak disokong oleh Tabung Hidupan Liar Dunia, cawangan Malaysia (World Wild Life Fund – WWF) yang turut dirujuk sebagai panel perunding dalam laporan terperinci Impak Alam Sekitar (Detailed Environmental Impact Assessment - DEIA). WWF-Malaysia menganggarkan kadar buangan ke sungai ini akan menyamai 50,000 kg garam untuk setiap jam. Kesannya bukan setakat kepada sungai dan ekosistem sungai tetapi akan turut 'terasa masin' adalah sebarang aktiviti akuakultur yang terdapat di sepanjang sungai dan Lagoon Setiu. WWF - Malaysia menambah lagi, disamping pencemaran garam, sisa buangan kolam udang juga mungkin telah dicemari virus. WWF memaklumkan bahawa mereka telah mencadangkan supaya sisa buangan disalur terus ke laut untuk meminimakan impak ekosistem berbanding apabila disalurkan ke sungai tetapi ditolak oleh pemaju dan lebih mengecewakan apabila cadangan pemaju disokong pula oleh pihak berkuasa.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) yang turut menyatakan kebimbangannya pula memaklumkan, penggunaan air laut sepenuhnya untuk projek ternakan udang ini akan mengakibatkan kesan resapan air laut ke dalam bumi dari kawasan kolam. Kajian mereka mendapati kesan resapan ini akan dirasai sejauh 3 km yang secara langsung tidak memungkin sebarang aktiviti pertanian dijalankan di dalam lingkungan tersebut.

*Berita selanjutnya dan gambar-gambar akan menyusul.

Friday, January 22, 2010

Operasi Al Falah


Warga tua yang dipanggil Pak Teh terlantar sakit beberapa hari di rumahnya di Kg Kepala Gajah begitu mesra menerima kehadiran kami

Program operasi Al falah dengan format mirip satu pilihanraya kecil dimulakan bagi peringkat DUN Jabi pada khamis 21 Januari 2010 dan berakhir pada pagi ini sabtu 23 Januari 2010. Untuk siri yang pertama, Unit Peti Undi Renek menjadi tuan rumah dengan tenaga-tenaga petugas dari seluruh UPU di DUN Jabi berkampung di Markaz UPU Renek selama lebih kurang 3 hari 2 malam. Program yang bermatlamatkan ke arah mencapai kemenangan dalam PRU akan datang diisi dengan pelbagai aktiviti merangkumi kuliah maghrib, ceramah kelompok, ceramah motivasi petugas, gotong royong membersihkan tanah perkuburan, gerak gempur daftar pemilih, bacaan Yaa Sin muslimat, qiyamullail dan yang pastinya program ziarah ke serata ceruk UPU Renek.

Berkesempatan dari pagi sehingga ke petang Jumaat 22 Januari 2010 bertemu dengan segenap lapisan penduduk mendedahkan pelbagai realiti kehidupan masyarakat yang menyentuh hati kecil saya. Lensa Lumix Panasonic saya sempat merakamkan sebahagiannya untuk dikongsi bersama.Nenek tua keseorangan menghabiskan sisa-sisa hidupnya di teratak buruk yang hampir runtuh di Kg Kepala gajah(gambar bawah)





Pak Said yang kesunyian tinggal di sebuah rumah (gambar bawah) di Kg Batu Balai, Renek yang lebih layak dipanggil pondok tanpa bekalan lektrik dan air



Mok Teh di Kg Kepala gajah yang buta sebelah matanya tetap berbual mesra menerima kunjungan kami malah begitu bersungguh-sungguh ingin menghidangkan minuman kepada kami




Pok Soh di Kg Kepala gajah dulunya seorang peraih ayam kampung, sekarang terlantar di rumah lebih lima tahun setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Menziarahinya bukan asing bagi saya kerana beliau mempunyai tali persaudaraan dengan saya dan telah mengundi UMNO semenjak dari muda lagi tetapi belum pernah YB Ramlan datang menjenguknya. "Taubat! kalu panjang umur, Pok Soh tak akan undi UMNO lagi." Tegasnya.


Pak Wei seorang penyokong tegar UMNO di Kg Batu Balai, Renek terlantar lumpuh semenjak lebih 3 tahun selepas diserang angin ahmar. Saya dinasihatkan supaya tidak menziarahinya kerana beliau dikatakan bersikap panas baran, tetapi risiko yang diambil untuk menziarahinya nyata berhasil kerana dalam keuzurannya, begitu bersemangat beliau bercerita tentang kisah zaman mudanya sebagai guru sekolah memandu. Menjadi tanda tanya apabila isterinya memaklumkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuknya telah dihentikan sejak 3 bulan yang lalu. Disyaki kerja JKKK, kata isterinya.



Rumah kecil di Kg Gong Penaga menjadi tempat berteduh 8 anak yatim yang kematian ayah lebih setahun yang lalu. Ibu mereka tiada di rumah ketika kunjungan kami kerana sedang sibuk mengadap pokok getah yang menjadi sumber penyambung rezeki mereka sekeluarga. Yang sulong berusia 21 tahun sementara si bongsu berusia 3 tahun lebih.

Friday, January 15, 2010

Bertani Satu Ibadat, Sempena Hijrah Turun Ke Sawah





Program Bertani satu Ibadat, Sempena Hijrah Turun Ke Sawah


"Kalau sekiranya penduduk kampung itu beriman serta bertaqwa kepada Allah, nescaya kami akan buka kepada mereka pintu keberkatan dari langit..."

Inilah diantara petikan maksud firman Allah yang ditegaskan oleh Dato' Hj Abu Bakar Chik, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu merangkap Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Petani, Nelayan dan Peneroka Negeri dalam satu program bersama petani di Kg Bukit Tanah, Jabi petang semalam, Jumaat 15 Januari 2010. Program yang dicetuskan idea bertemakan 'Bertani Satu Ibadat, Sempena Hijrah Turun Ke Sawah' dengan objektif untuk meraikan para petani yang baru saja memulakan kerja-kerja menabur padi benih di bendang.

Ucapan bersemangat Dato' Kar

"Kita berhasrat untuk melihat wujudnya para petani dalam masyarakat yang menjadi penyebab turunnya keberkatan dari Allah, dengan keimanan dan ketawqaan mereka serta pergantungan kepada Allah. Bumi Allah yang penuh kesuburan dikurniakan kepada kita manusia supaya kita dapat memakmurkannya dan kita yakin Allah akan mengurniakan kita rezeki yang melimpah setelah kita berusaha." Tambah Dato' Hj Abu Bakar lagi yang juga merupakan bekas EXCO Pertanian Terengganu semasa era pemerintahan PAS.

"Jangan sekali-kali kita sematkan dalam fikiran kita, rezeki kita adalah kurnian UMNO. Tanpa bantuan dan wang ehsan kita tidak dapat hidup! Bimbang pegangan sebegini akan merosakkan aqidah kita. Kita perlu merasa bangga dan izzah(kemulian) kerana kita bukan hanya sekadar seorang petani, tetapi kita juga adalah seorang anggota gerakan Islam yang bekerja untuk meninggikan agama Allah." Tambah Dato' Abu Bakar lagi.

Memberikan sedikit ucapan merangsang semangat bekerja

Dalam kesempatan memberikan sedikit ucapan, saya menekankan bagaimana suatu ketika dahulu kita adalah ummat yang paling mulia dan terbilang. Tangan kita sentiasa berada di atas, memberikan bantuan kepada yang memerlukan tetapi amat memilukan apabila sekarang ini tangan-tangan ummat Islam berada di bawah, mengharapkan pemberian dan belas ehsan orang lain termasuk dari dari negara-negara kuffar musuh kita dan musuh Allah. Kesungguhan bekerja yang sepatutnya menjadi identiti sejati milik kita, sekarang telah semakin terhakis sehingga potensi, bakat dan kebolehan kita banyak disia-siakan. Sempat saya mengimbas sejarah penubuhan negara haram Yahudi di atas bumi ummat Islam Palestin. Golda Mayer bekas PM Regim Zionis itu pernah bekerja selama 16 jam setiap hari selama 35 tahun sebelum berjayanya penubuhan itu, demi suatu cita-cita jahat dan ideologi yang sesat. Lantas apa alasan kita ummat Islam tidak mampu bekerja lebih daripada itu demi suatu cita-cita yang mulia dan diredhai Allah.

Program sepetang yang dihadiri kira 40 orang warga tani Kampung Bukit Tanah diserikan lagi dengan jamuan bubur kacang dan bubur asyura. Turut hadir Pengarah DUN, Tuan Hj Ismail Awang Teh.

Turun ke sawah di petang yang damai


Selepas majlis selesai Dato' Abu Bakar dan rombongan mengambil kesempatan meninjau kerja-kerja membajak dan menabur biji benih padi di Baroh Gong Nibong dan Gong Panjang sambil bemesra dan bertanya khabar dengan para petani. "Ibarat sirih pulang ke gangang", kata Ustaz Kar sambil mengimbau kembali tugasnya sebagai EXCO Pertanian Negeri suatu ketika dahulu.

Keadaan petak sawah selepas seminggu ditabur, hanya sebahagian kecil yang tumbuh

Antara aduan yang sempat diajukan oleh para petani berkenaan masalah padi benih semenjak BERNAS menswastakan bekalan padi benih kepada para petani. Padi benih yang dibekalkan oleh pihak swasta, sudahlah harganya lebih mahal. Kalau dulu bekalan dari BERNAS diperolehi dengan harga RM22 seguni sekarang beharga RM38 seguni. Kualitinya pula amat rendah sehingga banyak padi benih yang ditabur tidak tumbuh dan kerja membajak terpaksa dilakukan semula selepas seminggu kerja-kerja menabur.Kerja-kerja membajak semula terpaksa dilakukan ekoran biji benih yang tidak tumbuh selepas ditabur

Antara petani yang terlibat sehingga terpaksa mengeluarkan belanja membeli semula padi benih adalah Saudara Salleh Husin, 51. Katanya "Macam mana mereka boleh ambil padi yang belum cukup masak untuk dibuat padi benih, mana ada kualiti!" Saudara Salleh Hussin

Tuesday, January 5, 2010

Dewan Bedah Hospital di Terengganu Bermasalah


Fakta-fakta yang didedahkan tentang realiti dewan-dewan bedah di hospital-hospital negeri Terengganu amat mendukacitakan walaupun tidaklah mengejutkan jika diukur dengan prestasi kerajaan BN yang memerintah dalam membina dan menyiapkan prasarana untuk kepentingan rakyat.

Masalah kebocoran, serangan hama dan projek yang tidak dapat disiapkan mengikut tempoh atau terbengkalai melibatkan pembinaan hampir semua dewan bedah hospital-hospital di negeri Terengganu.

Dewan bedah di Hospital Besut terbengkalai hampir sembilan tahun, bocor dan terdapat masalah serangan hama. Dewan bedah di Hospital Setiu tidak terkecuali. Sudahlah terbengkalai pembinaannya hampir tujuh tahun, apabila siap, kebocoran pula telah merosakkan peralatan dewan bedah yang menelan kos jutaan ringgit. Pembinaan dengan menggunakan bahan yang tidak mengikut spesifikasi yang betul mengakibatkan serangan hama yang tidak memungkinkan ia untuk beroperasi. Kaedah pengurusan dewan bedah menetapkan, persekitaran dewan bedah mestilah berada dalam keadaan suci hama, atau jika sebaliknya ia perlu ditutup dan tidak dapat beroperasi.

Lain cerita dengan dewan bedah Hospital Kemaman. Tentu sekali terdapat kelemahan dan kesilapan perancangan dan perlaksanaan kerja pembinaan, terbengkalai sehingga empat tahun, melucukan malah mendukacitakan apabila dimaklumkan, air untuk rawatan pesakit terpaksa digantung di cermin tingkap. Selain itu ketiadaan unit rawatan rapi (ICU) menyebabkan pembedahan kes-kes kritikal tidak dapat dijalankan. Sedia dimaklumi oleh mereka yang terlibat dengan dunia perubatan bahawa ICU dan dewan bedah adalah kembar yang tidak dapat dipisahkan jika kedua-duanya ingin berfungsi secara optimun.

Kerajaan pimpinan Najib dengan slogan rakyat didahulukan, prestasi diutamakan perlu melihat secara serius segala permasalahan ini. Keperluan-keperluan asas yang kritikal seperti hospital bukan perkara yang boleh dibuat mainan. Nyawa rakyat tidak sepatutnya dijadikan pertaruhan dengan pelan pembinaan yang tidak komprehensif, ketirisan dalam penggunaan dana sehingga terlalu ramai pihak berkepentingan yang ingin mengambil kesempatan. Hasilnya pembinaan yang tidak mengikut spesifikasi dengan bahan-bahan binaan yang bernilai rendah. Natijahnya kualiti prasarana yang mengecewakan.

Bagaimana pula mereka menyempurnakan penyusunan susun atur pelan pembinaan, apabila ada pihak hospital menganggap bahawa susun atur bangunan-bangunan hospital tidak komprehensif dan memeningkan. Ambulan perlu mengambil masa yang lebih lama untuk tiba ke unit kemalangan dan kecemasan (A&E unit) dari jangka masa yang sepatutnya. Apakah kontraktor tidak berbincang dengan pihak-pihak yang berkaitan dan mempunyai kepakaran sebelum sebelum merangka dan menyiapkan sesuatu pelan perancangan? Kalaulah mentaliti, buatlah macam mana sekalipun yang penting kita dapat untuk untung! merajai pemikiran para kontraktor, mangsanya adalah rakyat sebagai pengguna.

Masalah-masalah ini perlu dilihat secara dekat dan penuh ketelitian. Saya yakin rakyat tidak akan mempertikaikan apabila kerajaan membelanjakan wang yang banyak demi melengkapkan hospital dengan peralatan termoden kerana hasilnya adalah untuk kemudahan rakyat dan duit yang dibelanjakan juga adalah duit rakyat. Yang dipertikaikan adalah pembaziran pada perkara yang tidak perlu. Ratusan juta untuk Monson Cup, ratusan juta untuk Taman Tamaddun Islam dan Masjid Kristal, Ratusan juta lagi untuk pembangunan Pulau Duyong yang telah meminggirkan penduduk asal pulau serta banyak lagi untuk disenaraikan.

Saya amat mengkagumi integriti yang dimiliki oleh kerjaan Arab Saudi yang telah menahan ratusan pegawai termasuk jurutera dan pegawai-pegawai di Pejabat Datuk Bandar Jeddah untuk disoal siasat ekoran banjir kilat yang melanda Jeddah sehingga mengorbankan ratusan nyawa baru-baru ini. Walaupun ini adalah bencana alam, tetapi mereka tetap menyiasat kemungkinan berlaku kelemahan dari segi perancangan pembinaan, kesilapan penyelenggaraan dan segala aspek yang berkaitan. Pegawai-pegawai yang terlibat mesti bertanggungjawab.


Monday, January 4, 2010

Negaraku dan Sindrom Kambing Hitam




Kenyataan pelik yang dilaporkan media hari ini di mana Peguam Negara, Abdul Gani Patail mendedahkan bahawa tidak ada pegawai kanan tentera udara yang terbabit dalam kecurian dua enjin jet pejuang F-5E milik TUDM dari pangkalan tentera di Sungai Besi pada 2007.

Katanya, hanya anggota pangkat rendah yang terbabit dalam kehilangan enjin buatan Amerika Syarikat yang bernilai RM100 juta itu dan mereka akan didakwa.

Biasanya anggota-anggota berpangkat rendah atau dipanggil prebet mempunyai akses terhad terutamanya untuk mereka berada di tempat-tempat sulit, sensitif dan terlarang tanpa kebenaran dari pegawai atasan. Anggota berpangkat rendah juga dimaklumi mempunyai tahap pendidikan yang terbatas tanpa sama sekali bermaksud untuk merendahkan mereka, kerana merekalah sebenarnya penyumbang tenaga besar mempertahankan negara.

Proses membawa keluar enjin pesawat pejuang bukan sebuah, malah dua buah sehingga muncul di Amerika Selatan merupakan suatu proses yang bukan hanya setakat melibatkan rangkaian tempatan malah rangkaian antarabangsa. Hebat sungguh sekumpulan askar prebet di tanah air ku mempunyai kemampuan menyempurnakan semua urusan ini sehingga mampu mempedayakan semua kecanggihan sistem keselamatan negara.

Di manakah pula silapnya sistem pendidikan ketenteraan kita sehingga melahirkan sekumpulan pegawai 'bodoh' yang begitu mudah dipedayakan oleh anggota prebet. Soalan ini mungkin soalan bodoh yang boleh ditanya di kedai kopi, tetapi lebih bodoh lagi pelaku dalang sebenar di sebalik apa yang berlaku, lantaran dengan tindakan bodoh mereka mengakibatkan negara kerugian ratusan juta ringgit.

Kita bimbang sekiranya episod Koperal Sirul Azhar dan C. Inspektor Azilah Hadri akan berulang. Apakah telah menjadi trend baru di negara kita mengkambing hitamkan pegawai bawahan demi menyelamatkan pegawai atasan?

Saturday, January 2, 2010

Bermulanya Sesi Persekolahan dan Penerusan Perjuangan

Arif dan Afiq ceria melangkah ke sekolah.

Agak lama blog ini tidak dikemaskini. Kesibukkan memang boleh dijadikan alasan, tetapi bila mengingatkan Tuan Guru Presiden masih mampu menulis buku demi buku dalam jadual dengan tugasan perjuangan yang amat padat, membuatkan diriku bermuhasabah tentang kekurangan diri yang masih banyak perlu diperbaiki. Beberapa tugasan dan amanah pimpinan masih perlu dikemaskini dan dilaksanakan. Antaranya, tugasan untuk menyiapkan kertas perancangan Dana Pendidikan PAS Pusat yang dijadualkan akan dibentangkan di mesyuarat Lujnah Pendidikan PAS Pusat 9 Februari ini dan seterusnya akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat keesokkannya.

Rangkaian Belia Islam Nusantara atau Ringkasnya BENUA yang telah diletakkan batu asas penubuhannya sempena Persidangan Asian Federation of Muslim Youth di Shah Alam pada 19, 20 dan 21 Januari lalu di mana saya diamanahkan sebagai coordinatornya dengan objektif untuk menghubungkan pertubuhan-pertubuhan belia Islam di seluruh alam Nusantara dengan visi untuk melahirkan kepimpinan belia Islam yang akan menyumbang ke arah gerak kerja dakwah Islamiyyah di alam Nusantara. Kerja-kerja peringkat asas untuk menggerakkan usaha ke arah itu masih di peringkat awal.

Itu pun saya rasa amat berterima kasih kepada sahabat wartawan Saudara Sazali Mohd Noor dan Saudara Khairul Azlam yang banyak membantu melangsaikan kerja-kerja di Unit Penerbitan Penerangan Negeri khususnya dalam kerja-kerja penerbitan Buletin Penerangan Negeri. Walaupun kewartawanan bukanlah profession saya, tetapi bersahabat dengan mereka dalam lingkup ukhuwwah Islamiyyah demi melaksanakan tanggungjawab jamaah menjadikan saya semakin memahami dunia kewartawanan dan tugasan mereka. InsyaAllah, akhir Januari ini atau paling lewat awal Februari, satu Seminar Kewartawanan Islam akan dikendalikan oleh Unit Penerbitan Penerangan Negeri bermatlamatkan untuk melahirkan tenaga-tenaga kewartawanan Islam sekurang-kurangnya dua orang bagi setiap DUN. Program sehari suntuk yang akan diisi dengan ucap utama, pembentangan kertas kerja, dialog dan perbincangan serta sesi bengkel.

Tugasan di Lujnah Peringkat Pusat dan Lujnah di Perhubungan Negeri tidak boleh dijadikan keuzuran sebagai tukaran tugasan biasa di DUN baik bersama masyarakat atau merancang dan melaksanakan program di peringkat DUN. Kuliah, khutbah, ceramah dan ziarah merupakan sebahagian dari jadual tetap. Terima kasih kepada Saudara Rosdi, Setiausaha Kerja DUN yang banyak membantu mengatur dan menguruskan semua ini. Perancangan kerja memang telah digariskan untuk menjuruskan ke arah dua matlamat utama. Kemaskini organisasi dan pengurusan DUN serta tampil berbakti ke dalam masyarakat sebagai parti yang akan memerintah. Formasi pergerakkan perlu diubah untuk lebih fokus dan suatu indeks penilaian perlu diguna pakai untuk menilai hasil dan keberkesanan kerja khususnya daftar pemilih dan daftar keahlian. Bacaan politik memperlihatkan, PRU 13 mungkin akan berlaku lebih awal sebelum 2013. DUN Jabi sebagai salah satu DUN target atau DUN mesti menang jika PAS berhasrat mengambil alih pentadbiran kerajaan Negeri Terengganu selepas PRU 13, InsyaAllah. Memang amanah amat berat dan perit untuk dipikul, tetapi inilah namanya perjuangan meninggikan agama Allah. Mana ada jalan mudah untuk ke syurga.

Masa berlalu begitu pantas, hari ini 3 Januari bermula sesi baru persekolahan. Anak sulongku Muhammad Arif memasuki tahun 2 sementara yang kedua Muhammad Afiq begitu riang dan bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan tahun 1 di Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3. Anak bongsuku, Amirul yang di panggil adik berusia 5 tahun agak berat hati untuk ke TASKA. Alasannya, Abang Afiq dah tak ada bersama. memang mereka berdua sangat rapat walaupun sering bergaduh. Isteriku cuba memujuk, "nanti bila adik dah umur 7 tahun, adik akan sekolah sama dengan Abang Afiq." Memang ketika ingin menghantar kedua abangnya ke sekolah, adik yang paling awal naik kereta walaupun dengan mata yang masih separuh terpejam. Dalam kesibukkan aku cuba memperuntukkan waktu bersama mereka. Mengejutkan mereka bangun dari tidur sebelum waktu fajar, menunaikan solat subuh berjamaah bersama anak-anak dan isteri, melayani mereka bersarapan dan seterusnya menghantar mereka ke sekolah seawal 6.45 pagi. Tidak lupa ku bekalkan mereka dengan semangat dan perangsang.

Adik yang sangat meminati kapal terbang dan peralatan ketenteraan

Tanggungjawab profesional di klinik banyak juga yang tak sempat aku sempurnakan. Complaint daripada pesakit yang kerap kali gagal bertemuku dan klinik yang kerap ditutup adalah antara mesej tetap yang mengisi ruang memory peti mesej di telefon bimbitku. Sebahagian mereka bisa memahami tetapi dalam masa yang sama ada sebilangan kecil yang tidak dapat menerima keuzuranku apabila temujanji terpaksa diubah atau dipinda tarikhnya khususnya pesakit di kalangan penyokong UMNO. Kata-kata kesat yang diterima bukan lagi pahit untuk ku telan kesemuanya dengan lapang dada. Selalu aku memujuk diri sendiri, mungkin yang pahit mujarab untuk dijadikan ubat.

Sementara di rumah orang tuaku di Bukit Tanah, suasana kembali sunyi. Tinggal cuma mak, ayah, adik bongsuku yang bersekolah di tahun 6 serta adikku yang sedang belajar di tingkatan 3. Yang lain dari kami 13 beradik 'membawa diri' samada demi tugasan menuntut ilmu, bekerja atau sudah berkeluarga. Antara mereka akulah yang paling kerap menjadi pengunjung setia rumah orang tuaku. Tak kira waktu tengah hari, petang, malam, tengah malam atau dinihari, setiap kali ada kesempatan pasti aku meluangkan masa untuk singgah walaupun hanya sekadar untuk minum teh 'o'. Kerap kali juga aku mengejutkan mereka menjelang waktu dinihari terutama apabila tugasan jamaah selesai menjelang selepas tengah malam...

Wednesday, December 16, 2009

Kempen Umno Juara Rakyat – Gunakan Wang Umno Jangan Guna Wang Rakyat !



http://buletinonline.net/images/stories/berita16/drazmanbgnpinang.JPGSETIU – Ketua Penerangan PAS Setiu Dr Azman Ibrahim mempersoalkan kemampuan Umno untuk membuktikan mereka adalah juara rakyat atau sebaliknya khianat kepada rakyat.

(Gambar - Dr Azman dua dari kiri) Katanya, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Umno akan melancarkan program raksasa 'Umno Juara Rakyat' bermula Januari depan sehingga pilihanraya umum 13 akan datang.

Menurutnya, Muhyidin berkata, program tersebut merangkumi pelbagai jenis bidang seperti pendidikan, keagamaan, kerohanian, keusahawan, ekonomi, sosial dan lain-lain.

“Mampukah Umno menggerakkan semua program yang besar dan hebat ini berasaskan jentera dan kekuatan kewangan parti (Umno) semata-mata?”soalnya ketika dihubungi Buletinonline semalam.

Beliau berkata, sebenarnya, Umno tidak mampu bergerak sedikitpun kecuali dengan 3M memang telah sinonim dengan mereka iaitu Money (wang), machinery (jentera kerajaan) dan mass media.

Katanya amalan penyelewengan menggunakan bajet kerajaan dalam urusan parti telah menjadi lumrah Umno.

Oleh itu katanya, Umno masih belum berubah dan belum bersedia untuk berubah atau sememangnya mereka tidak mampu berubah.

Justeru, beliau mengajak pemimpin Umno, sekiranya merasakan mereka ‘ masih bermaruah’ agar beraksi di atas padang yang sama rata, dengan kekuatan jentera dan strategi sendiri serta berhenti salahgunakan wang rakyat.

”(Setelah itu) Kalau benar mereka muncul juara, kita solute!(tabik) kerana mereka adalah juara yang bermaruah!”tambahnya.

Tuesday, December 15, 2009

Umno Juara Rakyat?


Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yasin ketika berucap di Melaka 14 Disember 2009 mengumumkan, UMNO akan melancarkan program raksasa 'Umno Juara Rakyat' bermula Januari depan sehingga pilihanraya umum 13 akan datang. Laman-laman web pro Umno giat mewar-warkan bahawa program ini merupakan satu gerakan transformasi baru merangkumi pelbagai jenis bidang seperti pendidikan, keagamaan, kerohanian, keusahawan, ekonomi, sosial dan lain-lain lagi. Digambarkan inilah dia gerakan transformasi untuk mendekati masyarakat hingga ke akar umbi.

Memang indah dan mempersonakan kalau dilihat dari objektif program serta ruang lingkup bidang yang ingin diliputi. Soalnya mampukah Umno menggerakkan semua program yang besar dan hebat ini berasaskan jentera dan kekuatan kewangan parti semata-mata atau sebagaimana biasa program-program rasmi kerajaan yang menggunakan budget kerajaan akan dikambing hitamkan demi kepentingan Umno. Lebih malang kalau rakyat secara paksa rela diarahkan untuk menghadiri, menyertai dan terlibat dengan program-program yang bakal berlangsung. Rakyat sebenarnya telah lali, tanpa wang melimpah dan tanpa media dan jentera kerajaan, Umno tidak mampu bergerak sedikitpun. Senjata 3M memang telah sinonim dengan mereka. Money (wang), machinery (jentera kerajaan) dan mass media. Kalau perkara yang sama masih berulang bermakna Umno masih belum berubah dan belum bersedia untuk berubah atau sememangnya mereka tidak mampu berubah.

Syabas dan tahniah kalau Umno telah 'insaf' dan ingin berubah serta kembali kepada tanggungjawab sebenar mereka untuk menjuarai isu-isu rakyat setelah mereka sebenarnya telah tersangat jauh terpesong dari landasan. Perjuangan demi pangkat, perut dan wang serta kroni telah membawa Umno semakin jauh dari simpati rakyat dan mereka sebenarnya di ambang bahaya yang besar.

Jangan apabila berdepan suasana yang mendesak, rakyat digula-gulakan lagi dengan retorik-retorik yang manis tetapi sebenarnya kosong. Rakyat perlu berhati-hati. Yang Manis jangan terus ditelan dan yang pahit jangan terus dibuang. Mungkin yang pahit menjadi ubat tetapi yang manis membawa penyakit.

Kalau Umno merasakan mereka adalah juara rakyat yang sebenarnya dan bukannya Pas, suka untuk kita mengajak mereka beraksi di atas padang yang sama rata, diadili pengadil yang adil berpaksikan dengan kekuatan jentera dan strategi sendiri. Kalau benar mereka muncul juara, kita solute! kerana mereka adalah juara yang bermaruah!

Saturday, December 5, 2009

Program Berkhatan DUN Jabi

Pendaftaran
Cenderahati untuk kanak-kanak
Bermesra dengan peserta khatan

Memang telah tersemat di dalam kalendar tahunan DUN semenjak hampir 10 tahun yang lalu, setiap kali menjelang musim cuti akhir tahun, diadakan program berkhatan untuk kanak-kanak. Sambutannya Alhamdulillah, tidak pernah mengecewakan. Walaupun sedikit bayaran dikenakan tetapi ianya jauh lebih murah berbanding kos di klinik swasta. Tahun ini sedikit pembaharuan dilakukan dengan penganjurannya diperluaskan sehingga ke peringkat UPU di samping program induk yang diadakan di Pejabat DUN. UPU Tok Dor mengambil giliran pertama pada petang Jumaat 4 Disember dengan disertai kira-kira 50 peserta. Acara berlangsung meriah dengan kehadiran ibu bapa mengiringi anak-anak mereka dan diserikan lagi dengan hidangan nasi minyak oleh tuan rumah.

Tuan Guru Hj Ismail menenangkan anak bongsunya yang turut mengambil bahagian

Sabtu 5 Disember 2009, program berkhatan induk peringkat dun. Riuh rendah perkarangan pejabat dun dengan pelbagai gelagat kanak-kanak dan ibu-bapa. Alhamdulillah, penyertaan menghampiri 100 orang walaupun pada peringkat awalnya 70 orang mendaftar.

Bertanya khabar peserta
Dimaklumkan kepada saya pada pagi, ini bahawa susulan dari program berkhatan yang diadakan kelmarin di Tok Dor menyebabkan UMNO juga terpaksa mengambil langkah yang sama untuk menganjurkan program berkhatan di rumah pengerusi JKKK secara PERCUMA. Malangnya hanya 5 orang kanak-kanak yang menyertainya.

Foto-foto yang dipaparkan ini dapat mengambarkan gelagat dan kemeriahan suasana yang berlangsung. InsyaAllah, program sebegini akan diteruskan lagi kerana terbukti ianya mampu menjadi jambatan penghubung antara PAS dan masyarakat.

Tak sakit...

Friday, December 4, 2009

Banjir Gelombang Ketiga


Setiap kali menjelang musim tengkujuh, tiga lokasi utama yang sering dinaiki air di DUN Jabi selalu mengamit kerisauan di hati ini. Kampung Bukit Rambutan di dalam UPU Apal, Kampung Tok Dor Luar di dalam UPU Tok Dor dan Kampung Gong Tok Chil di dalam UPU Kerandang. Gelombang banjir ketiga melanda pada hari Rabu 2 Disember lalu paling teruk melanda Kg Gong Tok Chil sehingga air yang meningkat naik secara tiba-tiba menjelang tengah malam khamis mencecah lantai rumah kayu kepunyaan penduduk. Tidak kurang dari15 buah rumah digenangi air kira-kira separas buku lali di atas lantai rumah.

Alhamdulillah, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kejadian yang tidak diingini berlaku dan air mula surut menjelang siang keesokkannya. Kesukaran untuk ke lokasi pada malamnya menyebabkan saya dan Saudara Rosdi Ibrahim, penolong setiausaha DUN mengambil keputusan untuk menziarahi penduduk pada khamis keesokkannya. Keuzuran Tuan Guru Haji Ismail Awang Teh, pengarah DUN menyebabkan beliau tidak dapat bersama kami. Dengan sedikit buah tangan berupa barang-barang keperluan harian, kami mengunjungi dari rumah ke rumah bertanya khabar sambil menyampaikan sedikit sumbangan. Turut serta bersama kami Saudara Abang Harun, ketua cawangan Gong Tok Chil dan Saudara Nizam Latif, setiausaha UPU Kerandang.






Sunday, November 29, 2009

Salam Idul Adha

Lembu jantan jinak berusia hampir 2 tahun dikorbankan di hari mulia ini.

"Sesiapa yang tidak bersedia untuk berkorban demi mencapai kemulian hidup dunia dan akhirat, maka lebih baik mereka bersiap sedia untuk menjadi mangsa korban. Bersiaplah kita untuk hidup dalam kehinaan, dipermainkan oleh musuh Allah, dicabul maruah dan kehormatan, dijajah tanah air kita, dipermainkan syariat agama kita walaupun hakikatnya kita adalah ummat yang paling mulia. Dengan jumlah lebih 1.4 billion jiwa ummat Islam di merata pelusuk muka bumi Allah, kita seumpama buih-buih di lautan, bertaburan dengan banyaknya tetapi tidak memiliki keupayaan dan kekuatan. Semangat berkorban inilah yang mendorong kita tidak hanya berfikir diriku... diriku... diriku... tetapi kita juga perlu berfikir ummatku... masyarakatku... negeriku... bangsaku... Kita juga perlu mempunyai semangat untuk memberi, sebelum kita bersedia untuk menerima."

Inilah di antara intipati khutbah Idul Adha yang saya sampaikan di Masjid As Syakirin yang juga berfungsi sebagai Markaz Pas Cawangan Bukit Tanah dengan kehadiran kira 500 jamaah muslimin dan muslimat. Selesai bertemu mata dan bersalaman dengan jamaah yang hadir, tahun ini kami sekeluarga sebelah mertua mengorbankan seekor lembu untuk dibuat sedikit jamuan dan diagih-agihkan kepada yang kurang berkemampuan. Kehadiran sahabat handai turut memeriahkan majlis sambil ikatan silaturrahim diperkukuhkan lagi. Siap disembelih.



Seni melapah lembu jauh berbeza dengan 'operate' pesakit di dewan bedah hospital Saudara mara dan sahabat handai turut menunjukkan bakat.




Sunday, November 15, 2009

Ihtifal Pasti DUN Jabi 2009

Ikrar anak-anak PASTI Dun Jabi

Genap 25 tahun kewujudan PASTI di atas muka bumi Malaysia. Bermula dengan nama TASKI sehingga sekarang dikenali sebagai PASTI. Telah banyak jasa yang ditabur dalam membentuk generasi anak-anak soleh. PASTI As-Syakirin, Cawangan Bukit Tanah yang menjadi tuan rumah ihtifal PASTI Dun Jabi tahun ini sendiri telah menjangkau usia 23 tahun, menerima anugerah sebagai salah sebuah PASTI tertua di Terengganu semasa sambutan Jubli Perak PASTI peringkat negeri. Segala pahit maung, keperitan, kegembiraan, suka dan duka telah dilalui bersama dengan penuh ketabahan oleh seluruh ahli cawangan demi mempastikan kelangsungan perjalanan PASTI. Bermula dari sekadar beroperasi di serambi surau kayu yang juga menjadi markaz cawangan, memasak menggunakan dapur minyak, sehingga sekarang ini telah mempunyai bangunan sendiri yang agak selesa. Saya masih ingat bagaimana ahli-ahli cawangan berpakat menanam ubi keledek bagi mencari dana PASTI. Semangat untuk berkorban dan kasih kepada institusi yang diwujudkan oleh parti kita sendiri menjadi tunjang kekuatan yang sukar digugat. Sekalipun berhadapan dengan saingan dari TADIKA Kemas dan pendidikan pra sekolah, ternyata PASTI masih menjadi pilihan. Maklumat dari Ketua Pengarah PASTI Pemuda Pusat menunjukkan 60% dari anak-anak umur pra sekolah berada di PASTI.

Ihtifal PASTI Dun untuk tahun ini diisi dengan berbagai pengisian menarik bermula dengan pembacaan ikrar seluruh pelajar PASTI, acara persembahan serta penyampaian sijil dan hadiah. Tidak ketinggalan penghargaan untuk Majlis Guru Pasti DUN yang telah banyak berkorban walaupun gaji yang dibayar sangat tidak setimpal dengan bakti yang dicurah.

Sedikit ucapan pada sesi perasmian ihtifal

Seekor lembu sumbangan Pas cawangan ditumbangkan dan digulai kawah sebagai hidangan tetamu

Sebahagian anak-anak Pasti dan ibu-bapa yang hadir

Sicilik bakal srikandi Islam masa depan

Monday, November 9, 2009

Bai'ah

Heboh kononnya PAS memperjudikan masa depan rumah tangga dan keluarga demi cita-cita politik. Seorang tokoh akademik dari UIA pula berpendapat PAS mengheret para isteri turut sama menjadi pertaruhan dalam politik. Seorang mufti dari sebuah negeri yang dipimpin oleh kerajaan haram pula berpendapat bahawa institusi perkahwinan adalah terlalu mulia untuk dijadikan cagaran bagi mengelakkan berlakunya perbuatan keluar parti atau berpaling tadah menyokong parti lain.


Semua ini adalah kerana kononnya wujud lafaz bai'ah atau sumpah setia bagi setiap wakil rakyat PAS yang menyebabkab jatuhnya talak tiga kepada isteri masing-masing sekiranya mengkhianati parti atau keluar dari parti. Benarkah semua dakwaan ini?


Sebagai seorang ahli parti yang pernah diamanahkan sebagai calon di DUN Jabi dalam PRU 12 baru-baru ini, saya rasa terpanggil untuk menjelaskannya kerana saya adalah salah seorang yang terlibat melafazkan bai'ah di hadapan Tuan Guru Presiden.


Petang 20 Februari 2008, bertempat di Markas Tarbiyyah PAS Kuala Terengganu, dengan rasa penuh kerdil untuk memikul amanah yang amat berat ini bersama sahabat-sahabat lain yang 'tidak bernasib baik' kerana dipilih untuk bertanding, kami mengadap Tuan Guru Presiden seorang demi seorang, dengan penuh gementar memegang erat tangan lembut Tuan Guru melafazkan bai'ah atau sumpah setia, bukan hanya sekadar berjanji kepada pimpinan, tetapi juga berjanji kepada Allah...


"Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Bahawa saya Azman bin Ibrahim setelah dipilih oleh parti untuk bertanding bagi kawasan N05 Jabi dengan ini bersumpah dengan nama Allah bahawa samada saya menang atau kalah, saya tidak akan mengkhianati parti dan perjuangannya, sekiranya saya mengkhianati parti dan perjuangannya, maka saya akan dilaknat oleh Allah, para malaikat dan sekelian yang melaknak. Sekian."

Kertas bai'ah ditandatangani dan diserahkan kepada Tuan Guru. Lafaz bai'ah yang diucapkan sehingga kini masih terngiang-ngiang di telinga. Demi Allah yang menjadi saksi kepada setiap apa yang kita ucapkan dan setiap apa yang kita lakukan, tidak ada sama sekali lafaz untuk menceraikan isteri. Kalau ada sekalipun, ia bukan menjadi satu ikatan yang kuat berbanding dengan ikatan dosa dan pahala yang kita yakini apabila kita setia atau mengkhianati perjuangan Islam.

Bak kata Tuan Guru Presiden. "Tak ada apa pada lafaz untuk cerai isteri. Kalau lompat masuk UMNO, UMNO boleh bagi tiga atau empat juta, boleh cari isteri lain yang lebih muda dan lebih cantik."

Tetapi kita pejuang Islam diikat dengan keyakinan adanya dosa dan pahala. Diikat dengan keyakinan, kehidupan tidak hanya sekadar berakhir di dunia ini. Diikat dengan keyakinan besarnya tanggungjawab bagi meninggikan agama Allah.

Inilah bezanya cara berfikir mereka yang belajar dan faham ilmu politik Islam berbanding dengan mereka yang tak faham atau buat-buat tak faham walaupun menyandang PhD atau bergelar Sahibus Samahah.

Saturday, November 7, 2009

Jangan Jadi Seperti Beruang Sayangkan Tuannya


Pas dan kepimpinannya sentiasa terbuka untuk menerima kritikan, teguran, muhasabah yang bermatlamatkan untuk kebaikan. Dasar keterbukaan PAS membolehkan pimpinan yang di atas menegur ahli di bawah dan begitulah juga pimpinan sentiasa terbuka dada mereka untuk menerima teguran, walaupun kadang-kadang pahit tetapi yang pahit selalunya mujarab untuk dijadikan ubat manakala yang manis selalunya boleh membawa penyakit. Pemimpin yang menegur ahli seumpama ayah yang menegur anak kerana kasih dan sayang tetapi tidaklah sehingga membuatkan seorang anak itu melarikan diri dari rumah. Sebaliknya juga ahli yang menegur pemimpin, jangan sekali-kali bertindak seperti beruang yang sayangkan tuannya. Apabila melihat lalat hinggap di muka tuannya yang sedang tidur, ditamparnya lalat tersebut sehingga melukakan muka tuannya.

Pelayaran perjuangan Islam ini amat jauh dan panjang. Sebuah kapal gerakan Islam yang bernama PAS dikemudi oleh seorang kapten, belayar menempuh badai dan gelombang. Bukan suatu yang pelik ada anggota pelayaran yang akan mabuk laut tetapi bukan alasan untuk yang mabuk terjun dari kapal. Dalam menempuh perjalanan yang jauh ini juga akan ada perkara yang kita tidak sependapat dan bersetuju dengan kapten tetapi bukanlah bermakna sehingga kita perlu bertindak menebuk kapal yang akan menyebabkan kita turut sama tenggelam. Bukanlah juga suatu tindakan yang bijak lantaran kerana kapal bergoyang menempuh badai dan gelombang, maka kita perlu pecat kapten yang mengemudi.

Kalau diibaratkan sebuah pasukan bolasepak, saf pimpinan PAS umpama jurulatih dan pemain-pemain profesional dengan rekod kejayaan yang cemerlang. Profesional dalam istilah seorang pemimpin yang penuh komited dan menumpukan seluruh kerja dan tujuan hidup untuk memperjuangkan ketinggian Islam. Profesional dengan makna mempunyai kemahiran dan kepakaran serta menguasai kerja yang dilakukan. Setelah mencatatkan kemenangan dalam tujuh perlawanan sebelumnya, akhirnya dengan satu kekalahan dalam perlawanan terbaru, ada suara yang mendesak supaya jurulatih, kapten pasukan dan para pemain dipecat dan dirombak dengan alasan jurulatih lemah, kapten hilang 'stim' , strategi dan percaturan silap. Sungguh suatu desakan tanpa penilaian yang adil. Apatah lagi kalau desakan ini bukannya datang dari penyokong setia yang sanggup bergolak, bergadai untuk datang ke stadium bagi menyokong pasukan kesayangan.

Memetik ungkapan Tuan Guru Presiden. "Kepimpinan adalah baju amanah yang dipakaikan oleh perwakilan dalam muktamar. Bukan kita yang pakai sendiri. Baju ini tak boleh dibuang sewenangnya kerana ia adalah amanah yang akan ditanya oleh Allah."

Persoalan perbezaan pendapat yang menjadi lumrah dalam berjamaah juga bukan suatu masalah besar bagi PAS. Sama sekali PAS sebagai gerakan Islam tidak pernah menyekat perbezaan pendapat. Malah perbezaan pendapat ini akan diurus dengan baik oleh kepimpinan yang berkemahiran dan dibekalkan dengan ilmu siyasah syar'iyyah yang mantap. Amanah kepimpinan suatu amanah yang besar. Tanggungjawab pemimpin bukan hanya sekadar untuk melahirkan ahli yang dengar dan patuh, tetapi yang lebih besar untuk melahirkan ahli yang mendengar dan berfikir. Ahli yang berkualiti akan menjadi hebat apabila dipimpin oleh pemimpin yang berkualiti. Sekiranya pemimpin hebat dan berkualiti memimpin ahli yang rendah kualitinya, gerakan tidak akan berjaya. Begitu juga jika ahli yang berkualiti dipimpin oleh pemimpin yang bertaraf rendah, gerakan tidak akan berjaya. Apatah lagi kalau kedua-duanya tidak berkualiti. Walaupun PAS sebagai gerakan Islam sentiasa menggalakkan ahlinya berfikir, tetapi tidak bermakna mereka digalakkan untuk sentiasa memberontak terhadap kepimpinan.

Semoga kepulangan kita dari seminar memperkasakan parti kelmarin dengan suatu azam dan tekad bahawa kita akan bersama mengharungi ombak dan badai perjuangan ini dengan bahtera perjuangan bernama PAS.





Monday, October 26, 2009

Adab Berikhtilaf Dalam Berjamaah

ADAB BERIKHTILAF DALAM GERAKAN ISLAM

Muqaddimah

Bukanlah sesuatu yang membimbangkan jika kebangkitan Islam masa kini menghadapi musuh dari luar yang selalu mengintai dan melakukan berbagai konspirasi terhadap Islam kerana ia merupakan suatu yang lumrah sesuai dengan sunnah pertarungan antara hak dan batil yang telah ditetapkan oleh Allah dalam kehidupan ini.

Tetapi hati ini benar-benar tersentuh sekiranya da’i dan aktivis gerakan Islam tidak mempunyai kesedaran yang mendalam tentang fiqh ikhtilaf sehingga perhatian sentiasa ditujukan kepada titik-titik perselisihan dan bukannya kepada titik-titik persatuan.

Sebenarnya perbezaan pendapat itu sendiri tidaklah berbahaya, khususnya dalam persoalan furu’ (cabang) dan sebahagian usul (pokok) yang bukan asas. Tetapi yang bahaya adalah perpecahan dan pertelingkahan yang selalu diingatkan oleh Allah dan Rasulnya kepada kita.

Realiti Semasa

Di dalam sebuah gerakan Islam, perbezaan pandangan merupakan satu lumrah. Bahkan perbezaan pandangan bukan sahaja berlaku hari ini, ia telah berlaku semenjak Rasulullah SAW memimpin sahabat-sahabatnya. Perbezaan di dalam menentukan kedudukan tentera Islam di medan Badar, perbezaan sekitar isu tawanan Badar yang akhirnya diputuskan oleh wahyu sehinggalah kepada perbezaan sikap para sahabat di dalam menerima perjanjian Hudaibiyyah. Namun, tentulah ia dapat dikendalikan dengan sebaiknya memandangkan pemimpinnya ialah nabi yang mendapat petunjuk wahyu.

Bagaimana pula selepas wahyu terputus? Masih lagi berlaku perbezaan pandangan dan masih dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Lihatlah Abu Bakar ketika dibantah keputusannya untuk memerangi golongan yang enggan mengeluarkan zakat. Orang yang membantah bukanlah individu sebarangan, ia tidak lain ialah Umar al-Khattab. Namun, perbezaan pandangan ini bukan alasan untuk berpecah. Umar patuh kepada keputusan orang yang telah diangkat olehnya sebagai pemimpin. Mengikut selepasnya ialah zaman fitnah yang melanda para sahabat, perbezaan pandangan yang ditambah peranan golongan syiah menyebabkan berlakunya peperangan saudara yang memakan korban. Kebanyakan para sahabat mengambil sikap untuk tidak berpihak kerana meyakini itulah sebaik-baik pendirian ketika menghadapi fitnah ini. Ternyata, sikap kebanyakan sahabat ini menyelamatkan sebahagian besar umat Islam dari turut terjebak dengan perang saudara.

Demikianlah cabaran di dalam kepimpinan. Seorang pemimpin yang baik bukanlah yang berjaya mewujudkan rakyat yang ‘dengar dan patuh’ sahaja, tetapi seorang yang berjaya mewujukan rakyat yang ‘patuh dan berfikir’. Gerakan Islam tentunya tidak menyekat anggotanya berfikir, tetapi tidak pula menggalakkan mereka sentiasa memberontak melawan kepimpinan. Kepimpinan yang baik sekalipun tidak akan berhasil sekiranya mempunyai ahli yang tidak berkualiti. Demikian jugalah ahli yang berkualiti tidak bermakna sekiranya dipimpin oleh kepimpinan yang gagal. Apatah lagi kalau kedua-duanya ; kepimpinan dan ahli sama-sama gagal untuk berfungsi!

Ahli PAS di era pasca PRU 12 sepatutnya lebih matang mendepani isu-isu perbezaan pandangan. Kita berdiri bukan setahun, bukan sepuluh tahun, bahkan sudah melepasi separuh abad.

Pada saat-saat genting seperti inilah, kepatuhan kepada kepimpinan benar-benar teruji. Bahkan kepimpinan pun seringkali diuji dengan pelbagai isu yang menyaksikan perbezaan pandangan yang kadang-kadang kelihatan dengan ketara. Namun harapan saya, ia tidaklah menyebabkan berlakunya perpecahan di antara kita.

JENIS DAN SEBAB IKHTILAF

1. Ikhtilaf Yang Timbul Kerana Faktor Pemikiran

Timbul kerana perbezaan pandangan mengenai sesuatu masalah baik masalah ilmiah atau masalah amaliah. Contoh dalam masalah ilmiah adalah perbezaan yang berkaitan furu’iyah (cabang-cabang syariat) yang tidak berhubung dengan prinsip-prinsip asas syariat.

Masalah amaliah pula adalah perbezaan mengenai sikap-sikap dalam politik dan pengambilan keputusan dari pelbagai masalah lantaran kerana perbezaan pandangan, kelengkapan data dan informasi, pengaruh-pengaruh lingkungan dan zaman. Contohnya seperti penyertaan gerakan Islam dalam pemerintahan yang tidak beriltizam dalam menerapkan syariat Islam.

Sebahagian ikhtilaf tersebut bersifat politik semata-mata, yakni berkaitan dengan pertimbangan antara kemaslahatan dan kemudharatan, antara pencapaian dan kerugian, pada masa sekarang dan pada masa akan datang.

Sebahagian yang lain bersifat fiqh, yakni kembali kepada perbezaan hukum syarak mengenai masalah tersebut, apakah ia boleh atau dilarang? Seperti masalah penyertaan dalam pemerintahan, bekerjasama dengan orang bukan Islam dan penyertaan wanita sebagai calon dalam pilihanraya.

Sementara sebahagian yang lain merupakan gabungan antara perbezaan yang bersifat fiqh dan politik. Contohnya perbezaan pendapat antara aktivis gerakan Islam mengenai kaedah islah dan perubahan yang dicita-citakan. Apakah ia perlu dimulakan dari atas atau dari bawah?

2. Ikhtilaf yang Disebabkan Faktor Akhlak

Di antara sebab-sebabnya:

i. Membanggakan diri dan mengkagumi pendapat sendiri

ii. Buruk sangka dan menuduh orang lain tanpa bukti dan fakta

iii. Ego dan mengikut hawa nafsu. Diantara akibatnya ialah mengejar kepimpinan dan kedudukan.

iv. Taasub kepada pendapat seseorang atau golongan tertentu.

Ikhtilaf Adalah Fitrah Kejadian Manusia

Allah menciptakan manusia dengan beraneka ragam. Setiap orang mempunyai tabiat, keperibadian dan pemikiran tersendiri. Perbezaan ini akan ketara baik dari segi penampilan zahiriah ataupun batiniah. Sebagaimana seseorang berbeza bentuk wajahnya, suaranya dan cap jarinya, demikian juga pola pemikirannya, kecenderungannya dan pandangannya terhadap sesuatu isu, sikap dan pekerjaan. Walaupun antara dua saudara kandung, tabiat manusia tetap berbeza. Contoh di kalangan para Nabi ialah antara Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s dan dari kalangan sahabat adalah antara Hasan dan Husain r.a. Begitu juga dengan dua orang tokoh sahabat, Abu Bakar dan Umar r.a. Abu Bakar sentiasa menampakkan kelembutan dan kasih sayang sementara Umar sentiasa mencerminkan kekuatan dan ketegasan. Hal ini mempengaruhi sikap masing-masing dalam menentukan sikap dan penyelesaian masalah seperti ketika mereka berdua diminta pendapat tentang tawanan peperangan Badar.

Usaha untuk menyatukan manusia dalam segala bidang ke dalam satu pola atau bentuk dan menghapuskan perbezaan antara mereka adalah sia-sia dan mustahil. Tindakan tersebut menyalahi fitrah yang ditetapkan Allah kepada manusia. Bahkan seandainya terjadi, tidak akan bermanfaat kerana setiap tindakan yang menyalahi fitrah tidak akan membawa apa-apa erti, bahkan akan menimbulkan bencana; cepat atau pun lambat.

Sedangkan tumbuh-tumbuhan yang disiram dengan air hujan yang sama tetapi tetap mengeluarkan buah yang beraneka bentuk , warna dan rasa. Kepelbagaian bentuk, warna dan rasa ini adalah rahmat bagi manusia. Begitulah juga perbezaan pendapat di kalangan ummat Muhammad s.a.w di dalam perkara yang tidak menyangkut persoalan asas aqidah dan prinsip pokok juga adalah rahmat bagi kita.

Ikhtilaf Yang tercela

i. Ikhtilaf yang bermotifkan bangkangan, dengki dan mengikut hawa nafsu.

ii. Ikhtilaf yang mengakibatkan perpecahan dan permusuhan ummat.

Tanggungjawab Ahli Gerakan Islam

Jagalah kemulian perjuangan dengan sentiasa menyatukan barisan para aktivis Islam. Minimunkan jarak antara kita dan hilangkan rasa kurang akrab antara sesama kita. Syaidina Ali k.w berkata: “Hendaklah kamu berpegang kepada sikap pertengahan. Dengan sikap ini orang yang tertinggal harus menyusul dan orang yang berlebihan harus kembali mundur.”

Elakkan dari menghabiskan waktu dan tenaga untuk membahaskan sesuatu yang sia-sia dan tidak menghasilkan apa-apa. Apatah lagi kalau kita tidak berada di posisi yang memberikan kita autoriti untuk membincangkan persoalan-persoalan dasar jamaah dan gerakan yang sebenarnya telah dibincangkan dengan penuh teliti, amanah dan berhemat oleh pimpinan tertinggi.

Tumpukan Persoalan Besar Ummah

Diantara perkara yang sering menyeret seseorang ke kancah perselisihan yang menjauhkan kita dari wehdah ialah kekosongan jiwa kita daripada cita-cita dan persoalan-persoalan besar. Apabila jiwa kosong, terjadilah pertarungan dalam masalah-masalah kecil. Kerana itulah Ibnu Umar menjawab dengan nada keras ketika ditanya oleh penduduk Iraq tentang hukum terkena darah nyamuk pada waktu ihram. Ibnu Umar berkata: “Mereka bertanya tentang darah nyamuk, padahal mereka telah menumpahkan darah cucu Rasulullah s.a.w.”

Sepatutnya, selain komitmen penuh yang perlu kita berikan kepada setiap sudut gerak kerja parti, persoalan-persoalan besar Negara dan masyarakat patut menjadi tumpuan kita. Soal pencabulan kedaulatan undang-undang, rasuah, penyelewengan, kezaliman, ekonomi, murtad, jenayah dan gejala sosial, ISA, pendidikan dan pelbagai lagi persoalan yang menuntut keprihatinan kita.

Kerjasama Dalam Tugasan Yang Disepakati

Perkara yang kita sepakati sebenarnya lebih banyak dari yang diperselisihkan. Kalau kita mampu bekerja dengan konsisten dan ketekunan untuk menjayakan perkara yang disepakati, nescaya kita tiada masa untuk berbalah tentang perkara yang diperselisihkan.

Tolerasi Dalam Masalah Yang Diperselisihkan

Syeikh Muhammad Rasyid Reza mencipta kaedah emas. “Bekerjasama dalam masalah yang kita sepakati dan saling bertoleransi dalam masalah yang diperselisihkan.”

Toleransi yang dicita-citakan ini diasaskan kepada beberapa prinsip:

i. Menghormati pendapat orang lain.

Imam Shafie berkata: “Pendapatku benar tetapi mengandungi kemungkinan salah sedangkan pendapat orang lain salah tetapi mengandungi kemungkinan benar.”

ii. Menerima Hakikat Kebenaran Mungkin Dalam Bentuk Yang Pelbagai.

Terutama dalam aspek yang menyentuh pertimbangan politik. Medan Siyasah Syar’iyyah suatu lapangan ilmu yang tersangat luas sehingga mengakibatkan terjadinya perbezaan pendapat dan pandangan, antara yang berfahaman sempit dan yang berfahaman luas.

iii. Kepastian Adanya Perbezaan Dalam Hukum Realiti.

Aktivis Islam perlu mempunyai kesedaran dan menerima kenyataan bahawa berbagai perselisihan yang kita selisihkan bukan perselisihan tentang hukum syarak. Tetapi hanya perselisihan tentang menilai suatu realiti yang dimaksudkan oleh hukum syariat. Inilah yang dinamakan oleh para fuqaha sebagai tahqiqul manath.

Jauhi Bantahan Dan Permusuhan

Islam, Walaupun menggalakkan perbincangan, wacana, perdebatan dan muzakarah tetapi Islam memerintahkan perdebatan dilakukan dengan cara yang baik demi mencari kebenaran. Sikap berbantahan bertujuan untuk mengalahkan lawan dengan segala cara tanpa berpegang teguh kepada fakta, kaedah syarak dan timbangan yang bijaksana adalah sangat tercela. Dialog yang disertai kekasaran, tuduhan dan cacian merosakkan kasih sayang dalam berjamaah dan mengeruhkan kejernihan jiwa. Pemilihan beberapa ungkapan dalam bahasa yang tepat kadang-kadang dapat memecah persoalan dan menghentikan pertikaian.

Seorang penyair berkata: “Sesungguhnya hati, apabila dilukai, seperti pecahnya kaca, tak dapat disatukan lagi.”

Bagaimana Nabi Ibrahim a.s berhujah dengan penuh fakta berhadapan dengan Namrud yang menggunakan apa saja cara demi keangkuhan dan kesombongannya.

Penutup

*Islam mewajibkan setiap muslim agar bersikap adil terhadap orang yang dicintai ataupun terhadap orang yang tidak disukai. Islam mewajibkan seseorang muslim agar menjadi saksi yang adil walaupun terhadap dirinya sendiri. Jangan sampai kemarahan membuatkan didinya terkeluar dari kebenaran Islam. Bahkan Islam memerintahkan agar setiap muslim memberikan kesaksian yang adil walaupun terhadap musuh.

*Sentiasalah mencari alasan-alasan keuzuran bagi kesilapan saudara kita sesama makhluk Allah yang bersama-sama berjuang membela agama dan jangan terlalu cepat berprasangka buruk. Ulama’ Salaf ada berkata: “Aku mencari alasan bagi kesalahan saudaraku sehingga tujuh puluh alasan, kemudian aku katakan lagi, mungkin dia mempunyai alasan lain yang tidak aku ketahui.”

Hamba Allah

Dr Azman Ibrahim

Kota Bharu, Kelantan.

27 Oktober 2009

Friday, October 23, 2009

Benarkah UMNO Setiu Berdamai?


Mungkin sebagai suatu langkah perubahan yang dilaung-laungkan semasa perhimpunan Agong Umno baru-baru ini, UMNO Setiu juga seolah-olah dilihat mengambil langkah positif untuk mendamaikan antara puak-puak yang hebat bertelagah dengan mengadakan pertemuan antara semua wakil-wakil rakyat di dalam parlimen Setiu beserta penyokong-penyokong mereka bersama Ahmad Said bertempat di Dewan Sivik Jabi sejurus selepas perhimpunan Agong Umno baru-baru ini. Sumber yang diyakini memaklumkan, semua wakil-wakil rakyat hadir bersama penyokong mereka kecuali ADUN Batu Rakit.


Dalam konteks Setiu, pertelagahan berlaku antara puak pro Idris Jusoh yang diketuai Ramlan Ali, ADUN Jabi dan puak Pro Ahmad Said yang diketuai Mohammad Jidin, Ahli Parlimen Setiu. Pergeseran antara dua puak jelas dizahirkan semasa pemilihan UMNO peringkat bahagian baru-baru ini yang menyaksikan Ramlan Ali tewas tipis untuk merebut jawatan ketua bahagian di tangan Mohammad Jidin tetapi Ashaari Mohamad dari team Ramlan menang dalam perebutan jawatan timbalan ketua bahagian.


Krisis perlantikan pengerusi JKKK khususnya di DUN Jabi yang mengakibatkan tersingkirnya ramai pengerusi-pengerusi JKKK pilihan Ramlan dan digantikan dengan pengerusi-pengerusi JKKK pilihan MB (baca pilihan Mohammad Jidin) seolah-olah seperti meletakkan garam yang menambah kepedihan di tempat luka yang masih belum sembuh dan tidak tahu bilakah akan sembuh.


Masyarakat setempat juga ramai yang tertanya-tanya kenapakah Pejabat dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Setiu untuk DUN Jabi dibuka di Kampung Renek, tidak di Pekan Jabi di mana terletaknya Pejabat dan Pusat Khidmat ADUN Jabi sedangkan Pekan Jabi adalah tempat tumpuan masyarakat DUN Jabi dan di sinilah acara-acara penting peringkat DUN selalu dilangsungkan.

Saya sama sekali tidak berminat untuk mencampuri urusan dalaman mereka sekiranya apa yang berlaku hanya dalam kelompok mereka dan tidak menyentuh kepentingan rakyat, tetapi apabila tamak dan haloba perebutan kuasa politik ini telah merebak sehingga jelas kelihatan mereka mementingkan perebutan pangkat, darjat, kedudukan dan projek lebih dari kepentingan rakyat, maka pendirian perlu dinyatakan.


Amat malang bagi rakyat bawahan yang menjadi pelanduk tersepit di antara gajah-gajah yang bertarung. Kenapa saya berkata begitu dan saya sebenarnya amat meragui bahawa pertelagahan ini akan berakhir serta puak pro Idris dan puak pro Ahmad Said akan berdamai!


Perlu dijelaskan bahawa pertelagahan antara dua puak ini adalah perlumbaan merebut kepentingan. Terutamanya selepas diwar-warkan bahawa royalti minyak akan dipulangkan balik. Sudah tentu akan banyak projek-projek yang akan mencurah di Terengganu. Mereka yang merasakan tidak berpeluang mendapatkan lebih banyak projek akan haloba dengan kuasa. Suatu gejala yang sangat tidak baik bagi negeri Terengganu.


Saya percaya mereka yang rakus dalam UMNO ini amat tidak sabar melihat perubahan ekonomi yang bakal berlaku. Kepentingan puak masing-masing perlu dipelihara walaupun terpaksa mengorbankan prinsip (kalaulah pemimpin UMNO berprinsip).Walau sekalipun terpaksa menjilat semula ludah. Bukan soal untuk berfikir tentang kepentingan rakyat dengan kekayaan negeri anugerah Allah Ta’ala. Kuasa politik amat perlu untuk dapat projek.


Melihat kepada tiada tanda-tanda Ahmad Said akan tersingkir dari kerusi MB, permusuhan berterusan dengan Ahmad Said yang kekal berkuasa adalah suatu tindakan yang sangat tidak bijak yang natijahnya jelas, puak Idris Jusoh tentu akan hanya menjadi pemerhati satu demi satu projek dibolot oleh puak MB. Ketika ini soal maruah bukan lagi perhintungan. Walaupun terpaksa melakukan pusingan 360°, langkah perdamaian yang penuh kepuraan perlu diambil. Kita bermusuh kerana kuasa dan projek maka kita juga mesti berdamai kerana projek!


Apatah lagi dengan khabar yang menyatakan akan ada rombakan barisan EXCO dalam masa yang terdekat dengan kemungkinan 3 orang exco akan kehilangan jawatan dan digantikan dengan YB lain. Salah seorang daripadanya dikatakan daripada Setiu. Mungkin ada seorang YB dari Setiu yang telah memasang cita-cita untuk mengambil alih kuota kerusi exco untuk Setiu dan memasang angan-angan memandu Mercerdes E200 Kompressor warna hitam. Apa pun mesti berdamai dulu dengan MB. Demi kuasa, pangkat, kedudukan, darjat dan projek, segalanya mungkin...

Saturday, October 17, 2009

Perbahasan Ijtima' Kepimpinan PAS Terengganu 2009, Cabaran Merealisasikan Tema Berubah Untuk Kemenangan Islam

Bersama En. Ng, Pengerusi DAP Terengganu, mengikuti ucap utama Presiden PAS


Apabila membincangkan persoalan cabaran yang ada di hadapan kita untuk merealisasikan tema Ijtima' Kepimpinan PAS Terengganu ini;

Pertama, suka saya merujuk kembali kepada laporan Jawatankuasa Postmortem Pilihanraya Umum 12 PAS Terengganu yang menyatakan, isu utama yang ada di hadapan kita ialah, sebahagian besar pengundi Terengganu masih berada di bawah cengkaman (grip) UMNO-BN. Mungkin cengkaman ini kerana wang atau projek pembangunan. Mungkin juga cengkaman dalam bentuk ancaman dan ugutan. Mungkin cengkaman kerana rakyat diselewengkan dari maklumat dan fakta yang sebenar dengan bantuan media arus perdana serta mungkin juga dengan bantuan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan. Cabaran yang perlu kita hadapi, bagaimana untuk kita merancang, bekerja dan bertindak bagi membebaskan rakyat dari cengkaman ini sehingga mesej perjuangan Islam yang kita dokong boleh sampai dan dinilai dengan adil oleh rakyat.

Sebagai perbandingan, As Syahid Syed Qutb ketika membahaskan konsep"Tidak ada paksaan dalam beragama" di dalam kitab 'Ma'alimu Fi Tariq' menyatakan, sebelum kita mengistiharkan kepada manusia, tidak ada paksaan bagi kamu dalam beragama, wajib kita memastikan manusia tersebut telah dibebaskan dari sebarang bentuk penjajahan, tekanan, penindasan, cengkaman dan kezaliman yang menghalang mereka dari mendengar dan menerima dakwah Islam. Setelah mereka dibebaskan dan diberikan kesempatan untuk menerima dakwah, memahami dan menilai ketinggian serta keadilan syariah Islam, barulah boleh dinyatakan kepada mereka, tidak ada paksaan bagi kamu untuk memeluk Islam. Tetapi sekiranya segala cengkaman, halangan, tekanan, kezaliman dan penindasan yang menghalang dakwah itu masih wujud, wajib bagi ummat Islam untuk bangun dan membersihkan segala halangan ini walaupun terpaksa mengangkat senjata. Dalam kontek Terengganu, saya sama sekali tidak bermaksud kita perlu mengangkat senjata untuk membebaskan pengundi Terengganu dari cengkaman UMNO.

Cabaran ke 2.
Kita perlu menampilkan imej kepimpinan yang mampu meyakinkan rakyat, bahawa kita adalah alternatif terbaik untuk mengantikan UMNO yang semakin menunjukkan tanda-tanda sakit tua yang menghampiri wafat. Apabila UMNO sakit, apabila UMNO mati, UMNO akan meninggalkan suatu ruang kosong (vacuum) dalam persada politik tanahair. Apabila wujud ruang kosong ini, maka apakah kita secara automatik akan mengisinya. Saya berpendapat tidak ada istilah 'automatic replacement' dalam politik. Rakyat tidak akan secara automatik memilih kita sekiranya kita tidak berjaya meyakinkan mereka bahawa kita mampu melakukan yang lebih baik dari arwah yang telah pergi.

Cabaran ke 3.
Menguruskan 'mood' rakyat dan membina 'public opinion' (pandangan awam) supaya rakyat nampak kelemahan UMNO-BN dan yakin dengan perubahan ke arah Islam yang dibawa oleh PAS. Era selepas PRU 12, mood rakyat berada dalam keadaan yang sangat positif untuk menyokong PAS/PR. Ditambah lagi dengan isu kenaikan harga barang, kenaikan harga minyak, rasuah, pencabulan undang-undang, PPSMI, ISA dan pelbagai lagi yang menyentuh kepentingan rakyat awam secara langsung. Tidak mustahil sekiranya mood yang baik ini tidak diurus secara tepat dan penub keprihatinan, kita akan kehilangan sokongan terutama dari kalangan pengundi atas pagar.

Cabaran ke 4.
Sistem penyampaian maklumat yang kita ada masih banyak yang perlu diperbaiki. Mesej kita tidak sampai kepada massa. Di dalam politik, kita perlu menjadi baik dan perlu kelihatan baik. Menjadi baik di dalam kelompok kita sahaja, tidak mencukupi. Kebaikan dan mesej kita perlu disebarkan. Lujnah penerangan di semua peringkat perlu ambil perhatian serius tentang perkara ini. Kita masih banyak mensia-siakan bahan-bahan dan medium-medium penerangan yang diterbitkan yang tentunya memakan kos yang tidak sedikit. Buletin contohnya, kenapa dibahagikan kepada AJK Kawasan, AJK Pemuda, AJK Muslimat, AJK DUN dan AJK Cawangan. Sepatutnya sasaran edaran kita sekurang-kurangnya pengundi kategori A dan C walaupun kita perlu melakukan lebih kerja. Jentera penerangan perlu diperkasakan lagi. Dalam masa yang sama medium dan bahan penerangan yang sedia ada perlu dimanfaatkan secara optimun.

Cabaran ke 5.
Cabaran kepada ahli kita sendiri untuk berubah dalam menguruskan kerja jamaah secara konsisten dan bersedia untuk sentiasa mempertingkatkan kualiti diri supaya berkemahiran dan menguasai bidang kerja yang dipertanggungjawabkan. Di dalam kitab 'Wawasan Pemikiran Islam' Dr Yusof Al Qardhawi menulis; Yakinlah kejayaan dan kemenangan yang akan diperolehi pada masa depan ini hanyalah akan berlaku jika manusia mengikuti sunnah Allah dengan melakukan persiapan-persiapan, kerja-kerja, usaha-usaha yang bersungguh-sungguh, tabah menghadapi rintangan dan tidak mengenal putus asa. Perkara yang di luar kemampuan dan jangkaan manusia diserahkan sepenuhnya kepada Iradah Ilahi yang maha kuasa.

*Perbahasan ini telah dibentangkan oleh penulis mewakili PAS Kawasan Setiu Sempena Ijtima' Kepimpinan PAS Terengganu 2009.

Friday, October 2, 2009

Ramah Mesra Eidul Fitri PASTI Dun Jabi

Jam 10.00 pagi sabtu 3 Oktober bertempat di tepian Pantai Benting Lintang di saat sahabat-sahabat lain sedang berjuang di pusat penamaan calon PRK Bagan Pinang, tepian pantai yang biasanya sunyi, meriah dengan kehadiran ratusan anak-anak PASTI beserta guru-guru, ibu bapa dan sahabat-sahabat pemuda untuk suatu program tahunan yang telah lama dirancang sebelum Ramadhan lagi. Walaupun dengan hati yang berada jauh di Bagan Pinang, saya sempat menghadiri program yang diisi dengan sedikit ucapan, penyampaian cenderahati kepada guru-guru yang telah banyak berkorban untuk kelangsungan pendidikan PASTI. Tidak ketinggalan sumbangan untuk anak-anak PASTI dari kalangan anak-anak yatim. Paling mengembirakan anak-anak apabila tahun ini kami memperuntukan sedikit duit raya untuk mereka. Jamuan raya disediakan dengan kerjasama guru-guru. Beraneka kuih-muih memenuhi meja hidangan dengan menu utama nasi hujan panas buah tangan dari Saudara Zulkifli Ismail pengerusi PASTI DUN beserta isterinya, Kak Mah yang juga merupakan seorang bekas guru PASTI. Ketenangan tepian pantai dengan konsep majlis yang tidak formal serta santai dengan anak-anak berlari keriangan saya abadikan dalam bentuk gambar-gambar yang cukup untuk menceritakan suasana yang berlaku.








































Monday, September 28, 2009

Islam Menyuruh Berlaku Adil


"Wahai manusia! Sesungguhnya kami menjadikan kamu dari seorang lelaki dan perempuan serta kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling kenal mengenal antara kamu. Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu adalah yang paling bertaqwa."

Inilah di antara intipati ayat-ayat Allah yang ditegaskan oleh YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ketika melancarkan gerak kerja jentera pilihanraya PAS Terengganu di perkarangan Pejabat Majlis Tindakan DUN Bagan Pinang, pejabat yang akan berfungsi sebagai bilik gerakan bagi UPU Teluk Kemang. Unit peti undi di mana PAS Negeri Terengganu dan Pulau Pinang akan bertindak sebagai jentera pembantu kepada jentera tempatan. Tuan Guru menegaskan lagi dengan firman Allah, "Jangan sekali-kali kebencian kamu kepada sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana keadilan itu lebih dekat dengan taqwa."

PAS yang telah diamanahkan oleh rakan-rakan Pakatan rakyat untuk meletakkan calon di dalam pilihanraya ini akan tampil dengan motto 'Bersama kehendak Rakyat' suatu motto yang sangat sinonim dengan perjuangan PAS yang telah membuktikan komitmen untuk memperjuangkan kepentingan rakyat terbanyak walau apa pun bangsa dan keturunan mereka. Kerana itulah, dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat terbanyak samada soal kenaikan harga minyak dan kos sara hidup, isu PPSMI, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta tidak terkecuali perjuangan membela meraka yang teraniaya dan dizalimi. Kita meyakini rakyat sebenarnya semakin bijak menilai persoalan-persoalan politik semasa dan mereka hakikatnya semakin bersedia untuk membuat perubahan dengan menolak BN yang jelas apabila diberikan kuasa, mereka mengenepikan aspirasi dan kehendak rakyat terbanyak dalam membuat keputusan dan mengenengahkan dasar-dasar penting negara.

Kini PAS tampil di Bagan Pinang, PRK yang kelapan di semenanjung selepas PRU 12 dengan rekod 7-0 kecuali 1 di Batang Ai kekal menjadi milik BN.
Memetik ucapan Ustaz Satiful Bahri, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu ketika majlis taklimat di Bagan Pinang, pagi kelmarin. "Teluk Kemang ni terkenal sebagai tempat melihat anak bulan, tetapi di sini PAS bukan setakat menawarkan anak bulan, malah ibu dan bapak bulan sekali. Kita tawarkan bulan penuh purnama."Bersama Tuan Haji Yahaya Ali, Ustaz Zakaria Khalil (Timbalan Pesuruhjaya PAS N. Sembilan) serta Ustaz Satiful Bahri dan beberapa orang sahabat sempat bertanya khabar dan berkongsi pandangan tentang isu semasa sementara menunggu majlis pelancaran gerak kerja PRK di Bagan Pinang kelmarin.

Mengikuti taklimat yang disampaikan oleh Tuan Haji Ramli, YDP Pas Teluk Kemang yang juga merupakan bekas calon DUN Bagan Pinang PRU 12, disebalik tutur kata dengan penuh tawadu' mengakui kesederhanaan tenaga dan fasiliti yang mereka miliki di Negeri Sembilan Umumnya dan di Bagan Pinang khususnya, tetapi saya melihat riak keyakinan di wajahnya. Insya Allah, PAS mampu mencipta sejarah di sini. Apatah lagi di UPU Teluk Kemang tempat kami bertugas yang merupakan salah satu UPU di DUN Bagan Pinang, PAS cuma tewas dengan majoriti tipis sekitar 190 undi. Cuma, kebimbangan dengan peratusan jumlah undi pos yang tinggi memang telah menjdi perbualan umum. Sebahagian besar dari mereka adalah pengundi di kalangan anggota tentera. Tuan Haji Ramli, sebenarnya bukanlah asing bagi anggota-anggota tentera di sini kerana beliau adalah seorang pesara tentera. Berasal dari Kelantan dan telah lebih 30 tahun menetap di Negeri Sembilan.

Kelmarin SPR telah mengumumkan bahawa cadangan Pakatan Rakyat supaya borang 2 (borang maklumat pengundi) untuk pengundi pos dihapuskan, tidak dapat dipertimbangkan SPR untuk PRK Bagan Pinang kerana ianya perlu dibawa ke Parlimen terlebih dahulu. Peliknya ketika SPR mewujudkan berbagai peraturan baru seperti melarang penggunaan pondok panas, larangan untuk perayu undi, menghadkan bilangan penyokong ke tempat penamaan calon, dan pelbagai lagi peraturan untuk mengokong pergerakan parti lawan BN, tidak pernah pula timbul perkara ini perlu dibawa ke parlimen untuk dibahaskan terlebih dahulu. Lantaran ini, jangan salahkan rakyat sekiranya keyakinan mereka terhadap SPR semakin menipis ekoran tindak tanduk SPR sendiri amat meragukan. Walaupun cadangan ini ditolak, bukan bermakna kita akan menyerah dan mengalah. Pimpinan PAS tampil dengan tuntutan lain yang bukan baru sebenarnya dan tentu sekali tidak memerlukan perkara ini dibahaskan di parlimen terlebih dahulu sebelum dilaksanakan. SPR wajib memastikan hanya askar yang hadir sahaja boleh mengundi dan jangan ada orang lain memangkah bagi pihak anggota yang tidak hadir serta wajib dibenarkan wakil parti yang bertanding mengawasi peti undi pos dari proses pembuangan undi selesai selesai proses pengiraan undi. Kita tungu respon SPR setelah mendapat nasihat dari 'tuan besar' mereka di Putrajaya...



Wednesday, September 23, 2009

Hari Raya dan Pilihan Raya


Keluarga besar kami di pagi Idulfitri

Memiliki sebuah keluarga besar memang amat menyeronokkan terutamanya saat boleh berkumpul bersama-sama tika menyambut lebaran. Kami 13 beradik memang tidak melepaskan peluang pulang ke kampung orang tua untuk bersama di pagi Idulfitri. Walaupun istilah balik kampung tidak begitu ketara bagiku yang selalu berulang-alik hampir 2 atau 3 kali seminggu dari Kota Bharu ke desa kelahiranku, Kampung Bukit Tanah, Besut. Tambahan pula memang menjadi kewajipanku perlu pulang ke kampung di pagi Idulfitri untuk menyampaikan khutbah dan mengimamkan solat sunat Idulfitri. Inilah juga saat-saat yang sangat berharga untuk bersua muka dengan anak-anak kampung yang pulang dari perantauan. Mungkin kerana inilah, biasanya saya terpaksa menolak sebarang jemputan untuk menyampaikan khutbah raya di tempat-tempat lain dan mereka yang menjemput biasanya boleh menerima alasan keuzuran saya setelah diberikan penjelasan.

Seperti biasa Masjid As Syakirin yang juga merupakan markas bagi PAS Cawangan Bukit Tanah penuh sesak dengan jamaah, melimpah hingga keluar sehingga kaki lima masjid turut menjadi tempat sembahyang. Jam 8.45 pagi, solat Idulfitri dimulakan disusuli dengan khutbah idulfitri yang mengajak hadirin merenung kembali Ramadhan yang telah ditinggalkan dan hari kemenangan yang disambut dengan takbir, tasbih dan tahmid yang membesarkan, mensucikan dan memuji Allah, tuhan yang maha pencipta. Sesi bermaafan, bersalaman dan berpelukan selepas solat biasanya membuatkan saya menitiskan air mata terharu dan gembira. Saya akan cuba mempastikan untuk dapat bersalaman dengan semua yang hadir. Terlepas peluang bermakna mungkin tahun hadapan baru dapat bersua kembali.

Pulang dari masjid, program keluarga kami bermula dengan sesi bergambar beramai-ramai dengan menantu sulong kesayangan mak, Abang Amir bertindak sebagai 'camera man'. Disusuli dengan sesi bersalaman dan bermaafan serta pembahagian duit raya untuk kanak-kanak. Biasanya telatah anak-anakku dan anak-anak saudaraku cukup untuk menggamatkan rumah sambil datuk dan nenek mereka yang dipanggil mak dan tok ayah oleh cucu-cucunya tersenyum gembira. Bersalaman dan bermaafan di hari mulia mengeratkan silaturrahim antara keluarga


Restu mak dan ayah di pagi raya

Mak dan Tok Ayah bersama sebahagian cucu-cucunya. Yang lain dah bad mood, tak nak bergambar lagi.

2 Syawal pada sebelah malamnya, saya perlu menghadiri program bersama perantau di Cawangan Tok Dor Dalam sementara pada sebelah paginya memang saya telah merancang untuk membuat sedikit susun atur di perkarangan kediaman kami di Kubang Kerian sebagai persiapan untuk program rumah terbuka Idilfitri pada 3 Syawal keesokkannya. Alhamdulillah di atas kelapangan rezeki kurnian Allah sehingga sebuah rumah sederhana sebagai tempat berteduh kami sekeluarga dapat disiapkan dan mula diduduki kira-kira 6 bulan yang lalu dan memang telah lama saya dan isteri merancang untuk mengajak saudara mara dan sahabat handai berkunjung ke teratak kami. Cuti raya adalah kesempatan yang terbaik.

Sebuah rumah sederhana tempat berteduh kami sekeluarga.

Petangnya sebelum jam 7.00 malam, saya telah bertolak ke Kampung Tok Dor Dalam untuk menghadiri program yang dijadualkan jam 9.30 malam. Saya telah mengambil kira fenomena kesesakkan jalanraya yang tak dapat dielakkan di musim perayaan ini. Traffic jem menyebabkan perjalanan dari Kota Bharu ke Tok Dor yang biasanya mengambil masa sekitar 1 jam 15 minit, tetapi hari ini saya hampir tidak dapat tiba sebelum majlis dimulakan. Dalam kesesakkan jalan sempat saya mengirim sms kepada Saudara Abdullah setiausaha cawangan memohon supaya dimulakan dulu majlis dan insya Allah saya akan tiba pada bila-bila masa. Ketika tiba di Markas Pas Cawangan, seorang anak kampung yang berkhidmat sebagai inspektor polis di ibu negara sedang berucap memberi peransang dan semangat kepada anak-anak muda untuk berjaya. Kemudian disusuli oleh Ustaz Syukri Ismail, sahabat lama saya, juga seorang anak Kampung Tok Dor Dalam yang menetap di Pengkalan Berangan dan saya mengambil giliran terakhir memberikan ucapan. Berkongsi sedikit pandangan, motivasi dan isu semasa bersama perantau Tok Dor Dalam.

Sambil beramah mesra kemudiannya kami dijamu dengan hidangan meehon goreng dan ayam bakar. Apa yang mengembirakan, Saudara Abdullah memaklumkan hampir sebahagian besar anak-anak kampung di perantauan hadir. Terdapat juga penduduk tempatan yang sebelum ini tidak pernah menghadiri program-program di markas turut sama memeriahkan program pada kali ini. Suatu perkembangan yang sangat memberansangkan. Ingin rasanya saya meluangkan waktu lebih lama bersama mereka. Tetapi saya telah berjanji dangan Saudara Abdullah untuk menziarahi seorang warga tua yang baru kematian suami sehari sebelum idilfitri di rumahnya kira-kira 500 meter dari markas. Berkesempatan untuk bertanya khabar dan menghulurkan sedikit sumbangan peribadi saya memohon diri setelah kira-kira 20 minit menziarahinya. Dimaklumkan oleh Saudara Abdullah bahawa Allahyarham adalah antara tenaga penting cawangan yang begitu komited walaupun dalam keuzuran. Sehari sebelum pemergiannya beliau masih mengagahkan diri menunaikan solat tarawih di markas tanpa menunjukkan sebarang tanda-tanda luar biasa. Beginilah kematian yang kadang-kadang datangnya tanpa diduga. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Alfatihah... Bertanya khabar dengan seorang warga tua yang baru kematian suami.

Acara seterusnya menjelang tengah malam. Menyembelih dan melapah lembu untuk hidangan program hari terbuka keesokkannya. Di perkarangan rumah ayahanda dan bonda di kampung, disertai adik-beradik serta beberapa orang bapa saudara dan sepupu sekampung, kami bekerja dengan penuh riuh rendah. Macam-macam jenaka yang timbul untuk menghilangkan rasa mengantuk. Kira-kira jam 4.00 pagi semua proses memotong daging telah selesai dan masing-masing bersiap untuk berangkat ke Kota Bharu kerana gulai kawah akan dimasak disana.
Gulai kawah resepi ayahanda sebagai menu utama rumah terbuka.

Ayahku dan seorang bapa saudara yang mesra dipanggil Pak Ngah Min oleh anak-anak saudara bertindak sebagai chef. Abang dan adik-adik serta sepupu-sepupuku yang lain bertugas sebagai pembantu chef. Di atas rumah kedengaran riuh rendah suara ibuku bersama ibu mertuaku menyiapkan itu dan ini. Tidak ketinggalan kakak, adik-adik serta ibu-ibu saudara dan tetamu-tetamu lain turut menyising lengan. Suasana yang dah agak jarang kelihatan bagi mereka yang tinggal di bandar. Ketika budaya gotong-royong semakin pupus, kita akan merindui saat-saat begini. Saya bagi pihak isteri dan anak-anak ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang hadir menyumbangkan tenaga dan terima kasih juga kepada semua tetamu yang hadir memeriahkan majlis. Ada terlebih, terkurang kami pohon berbanyak kemaafan. Terima kasih kepada para tetamu yang sudi hadir.

Hari ini sabtu 7 Syawal, saya mula bekerja kembali. Berat juga rasanya untuk kembali ke pejabat setelah lama bercuti. Apatah lagi mengingatkan sehari dua lagi kena bercuti semula untuk ke Bagan Pinang. Telefon pun dah asyik berbunyi. Panggilan dari pesakit-pesakit yang bertanya bila klinik nak dibuka semula. Mereka ini biasanya pesakit yang mengenali latar belakang saya dan tugas perjuangan yang dipikul. Sebab itulah biasanya mereka tidak merungut walaupun kalau terpaksa datang dua tiga kali baru dapat berjumpa saya. Apakan daya, saya hanya memiliki dua tangan dengan kudrat yang terbatas. Ada ketikanya, sahabat-sahabat lain mengantikan tugasan saya di klinik, tetapi mereka tetap ingin berjumpa dengan saya. Mungkin lantaran naluri ukhuwwah islamiyyah yang telah lama dibina. Apa pun, ayuh! mari bersama kita letakkan satu lagi batu nesan untuk UMNO di Bagan Pinang... Haiya bil Jihad... Kepada sahabat-sahabat seperjuangan, marilah kita menyumbang tenaga, masa dan wang ringgit dengan mengharapkan redha Allah.










Friday, September 18, 2009

Selamat Tinggal Ramadhan dan Salam Idulfitri

Jumaat 28 Ramadhan 1430 Hijriyyah, hari Jumaat yang terakhir dari bulan Ramadhan. Meniti detik-detik waktu berharga di bulan Ramadhan yang masih bersisa dengan harapan agar Allah menerima segala pengabdian, ruku' dan sujud serta setiap langkah yang diatur demi agama Allah.

Saya memulakan hari dengan turun daripada rumah di Kota Bharu jam 4.00 pagi dengan destinasi yang dituju, Masjid Kampung Besut, DUN Permaisuri untuk program kuliah subuh. Singgah sekejap di Jabi kira-kira jam 5.00 pagi untuk mengambil sahabat baik yang tidak pernah jemu menemani saya untuk menghadiri aktiviti-aktiviti parti, Saudara Rosdi yang juga merupakan ketua keselamatan PAS Kawasan. Kadang-kadang kalau saya terlalu letih, beliau akan bertindak sebagai 'pemandu tak bergaji' walaupun sebenarnya saya yang lebih banyak bertindak sebagai pemandu dan beliau menjadi 'tuan besar'. Setelah beberapa kali tertangguh dan setelah beberapa kali terpaksa menghampakan harapan sahabat baik saya, Saudara Saluwi Sulong yang juga setiausaha PAS cawangan, akhirnya alhamdulillah saya sempat tiba di masjid tepat ketika azan subuh dikumandangkan. Menjadi kebiasaan tahunan masjid ini pada setiap Ramadhan, mereka mengadakan program ihya' Ramadhan setiap malam Jumaat bermula dengan program iftar pada maghrib, diikuti solat isyak, tarawih dan tazkirah bersambung dengan qiyamullail pada diniharinya dan berakhir dengan kuliah subuh. Kehadiran kira-kira 100 orang jamaah boleh dikira agak memberansangkan. Ketika mengimamkan solat subuh, hati ini terasa begitu sayu. kalaulah boleh perjalanan waktu dihentikan supaya Ramadhan ini tidak berakhir... tetapi mustahil, sunnah Allah tidak mungkin mampu diubah oleh manusia. Surah Sajdah saya lagukan dengan suara sebak dan sayu dengan setiap baris-baris yang dibaca direnung dengan teliti sehingga terasa bait-bait firman Allah menggetarkan hati dan perasaan. Kesempatan kuliah subuh kembali saya gunakan sepenuhnya untuk mengingatkan diri sendiri dan orang lain tentang hakikat kejadian dan tanggungjawab kita sebagai seorang hamba Allah yang dhaif tetapi memikul tanggungjawab besar dan berat.

Bersama YB Zulkifli Mamat ketika program ceramah pagi Jumaat di Pulai Chondong.

Selesai kuliah jam 7.30 pagi, terus saya bergegas untuk ke Pusat Latihan Desa, DUN Pulai Chondong, Machang untuk program ceramah pagi Jumaat di sana. Cuma ceramah pagi ni agak istimewa sebab dipersembahkan lengkap dengan 'slide presentation'. Topiknya 'Solat dan Puasa dari Perspektif Perubatan.' Bersama YB Zulkifli Mamat yang telah saya anggap sebagai abang kandung sendiri, kami mengisi program dalam suasana yang cukup ceria. Tidak sukar bagi saya untuk 'mengkampungkan' istilah-istilah saintifik perubatan supaya difahami dengan mudah oleh pendengar yang rata-ratanya terdiri masyarakat kampung. Suatu kemahiran yang jarang ada pada pakar-pakar perubatan yang cuma hidup di dunia mereka sendiri dan tidak mencampuri kehidupan realiti masyarakat. Bersahabat baik dengan insan bermotivasi tinggi seperti YB Zul banyak memberikan inspirasi dan idea-idea baru untuk bertindak. Apatah lagi YB Zul telah berbelas tahun bergelar wakil rakyat yang cukup disenangi dan disayangi rakyat. Seronoknya memberikan ceramah yang disusuli dengan sesi perbincangan, tanpa disedari jam telah menunjukkan pukul 11.30 pagi. Ya Allah... cepatnya masa berlalu. bermakna telah 2 jam saya berdiri dan berceramah tanpa sedikit pun rasa penat. Kebetulan pula topik ini agak panjang lebar dan memerlukan penghuraian agak detail. Benarlah kata teman-teman, orang politik dan mikrofon memang sudah sinonim. Dapat mikrofon, bercakap 3 jam pun tak apa.

Di mimbar Masjid Jadi mengajak hadirin untuk bertaqwa kepada Allah.

Saya terpaksa memohon diri. Perjalanan seterusnya ke Masjid Jabi untuk solat jumaat dan khutbah di sana. Pada malam sebelumya catatan point-point ringkas tentang isi khutbah yang akan disampaikan telah saya kemaskinikan. Selalunya beginilah, saya jarang membacakan teks. Memadai dengan meletakkan target apakah isi utama yang ingin disampaikan dan saya akan mula mencoretkan catatan dalam bentuk nota ringkas. Idea dan susunan ayat akan datang dengan sendirinya apabila saya telah naik ke atas mimbar dan melihat ratusan jamaah yang saya kasihi berada di dalam saf. Susunan bahasa yang ringkas dan mudah amat penting supaya jamaah dapat mencernakan dengan baik intipati yang ingin disampaikan. Memulakan khutbah dengan mengingatkan hadirin bahawa ini adalah Jumaat yang terakhir dari bulan Ramadhan dan Ramadhan akan meninggalkan kita. Jangan pula kita tergolong di dalam kalangan golongan orang-orang yang gagal lulus ketika melalui madrasah Ramadhan dan natijahnya kita menyambut hari kemenangan, hari raya dalam keadaan kosong tanpa mendapat apa-apa ganjaran yang dijanjikan Allah. Solat Jumaat diimamkan oleh Al Fadhil Ustaz Mohd Suhaini Mat Ali Al Hafiz, tenaga pengajar di Maahad Tahfiz Wat Tarbiyyah Matla'in Badrin.

Menyampaikan sumbangan hari raya muslimat DUN

Jam 3.00 petang dijadualkan ada program penyampaian sumbangan hari raya anjuran muslimat DUN. Sekalung tahniah untuk dewan muslimat yang kelihatan begitu komited dengan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan. Sepanjang bulan Ramadhan ini saja telah dua kali saya menghadiri majlis penyampaian sumbangan anjuran mereka. Selesai solat Jumaat, saya mengambil kesempatan untuk pulang sekejap ke cawangan Bukit Tanah. Kebetulan hari ini ada program iftar jama'ie di cawangan. 3 ekor lembu dikorbankan. Semuanya hasil muafakat ahli cawangan tanpa perlu dikeluarkan satu sen pun dari tabungan cawangan. Agak terkilan kerana tidak dapat turut serta menyising lengan melapah dan menyiang daging bersama sahabat-sahabat. Walaupun mereka mengerti tanggungjawab yang saya pikul, tetapi hati kecil saya masih terasa suatu kekurangan. Sekadar menunjukkan muka, saya terpaksa bergegas kembali semula ke masjid Jabi kerana majlis penyampaian sumbangan telah hampir nak dimulakan. Kira-kira 100 jemputan dengan purata 5 orang untuk setiap cawangan hadir untuk menerima sumbangan. Sepertimana selalu, saya mengingatkan hadirin bahawa sumbangan ini tak seberapa kalau dinilai dari nilaian wang ringgit. Tetapi kalau dinilai dari sudut rasa bersama dalam ukhuwwah Islamiyyah, ia amat tinggi nilainya. Turut Hadir Tuan Guru haji Ismail Awang Teh yang agak uzur, Ustaz Zulbhari Abdul Rahman, setiausaha DUN, Puan fatimah Jusoh, Ketua Muslimat DUN serta Jawatankuasa Muslimat DUN. Majlis diakhiri dengan solat asar berjamaah.

Selesai mengamimkan doa yang dibaca oleh Tuan Guru Haji Ismail Awang Teh, saya memohon diri untuk kembali ke cawangan Bukit Tanah. Bersama-sama Ustaz Zulbhari yang telah mengenalpasti senarai penerima zakat di cawangan, kami akan menjelajah dari rumah ke rumah untuk mengagihkan zakat serta sedikit buah tangan dalam bentuk gulai kawah yang masih panas serta begitu menyelerakan yang telah siap dimasak oleh sahabat-sahabat di cawangan. Bergegas dari satu rumah ke satu rumah dalam ruang masa yang agak terhad, kami sempat mengunjungi 38 buah rumah yang terdiri dari orang-orang tua, ibu-ibu tunggal, guru-guru al Quran dan sahabat-sahabat yang kurang berkemampuan termasuk juga beberapa orang UMNO yang turut dihadiahkan dengan gulai kawah. Sekadar untuk menghilangkan letih, saya sempat berjenaka dengan Ustaz Zulbhari, "kalau sampai 3 kali mereka makan gulai orang PAS, harap-harap terbukalah hati mereka untuk meninggalkan UMNO." Kembali ke Markas ketika jam menghampiri 7.00 malam, kelihatan orang ramai telah memenuhi perkarangan markas, mengadap hidangan sambil mengamimkan doa tahlil. Penuhnya melimpah sehingga ke kaki lima jalan perkarangan markas. Gulai kawah 3 ekor lembu menjadi menu utama.

Untuk solat tarawih pada malamnya, memang ada jemputan untuk hadir ke cawangan Tasik Mengkuang tetapi saya memohon berbanyak-banyak kemaafan. Malam ini memang saya telah memutuskan untuk bertarawih di cawangan sendiri. Ini didorong keinginan untuk bersua muka dengan sahabat-sahabat perantau yang telah kembali ke kampung halaman. Di dorong tuntutan kehidupan, anak-anak kampung Bukit Tanah merantau dari Perlis hingga ke Sabah kerana tuntutan tugas, berkeluarga atau mencari ilmu. Kepulangan mereka sememangnya amat aku nantikan. Kami menyimpan kenangan bersama di zaman kanak-kanak dan remaja sebelum masing-masing membawa haluan kehidupan tetapi tidak pernah lupa kembali ke kampung halaman setiap tiba hari lebaran.

Walaupun hati ini begitu teruja untuk memperuntukkan masa yang lebih lama berbual-bual dengan mereka selepas solat tarawih, tetapi saya perlu pulang ke Kota Bharu kerana pagi esoknya saya perlu ke pejabat menyiapkan beberapa temujanji dengan pesakit yang masih belum sempat disiapkan kerana klinik cuma akan dibuka kembali selepas 4 Syawal. Memandu seorang diri, jarak dari Jabi ke Kota Bharu bukanlah terlalu jauh. Tambahan pula saya selalu berulang alik hampir setiap hari. Kata Orang, pejam mata pun boleh tahu kat mana selekoh, kat mana ada lubang dan kat mana ada simpang. Tetapi oleh kerana terlalu letih dan mengantuk, saya merasakan jaraknya tersangat jauh. Hampir 5 kali saya terpaksa berhenti rehat ditepi jalan menghilangkan rasa mengantuk untuk seketika. Tiba di rumah ketika jam telah melepasi angka 12 malam. Hajat di hati nak mengirimkan SMS kepada teman-teman bagi menyampaikan salam Idulfitri, tapi tak sempat kerana saya telah terlena keletihan. Apapun...

"SALAM IDUL FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN."

Saturday, September 12, 2009

Kembali Ke Dunia Akademik


Bersama warga MRSM Pasir Tumboh

Sempena Ramadhan yang penuh keberkatan ini, berbagai bentuk program sempat saya hadiri. Daripada tazkirah Ramadhan di surau kecil di hujung kampung dengan kira-kira 10 orang pendengar sehinggalah ke dewan kuliah universiti, auditorium jabatan-jabatan kerajaan termasuk juga dewan-dewan serta surau-surau sekolah. Tengah hari ini saya berkesempatan 'melepaskan gian' dengan hobi yang sangat saya minati. Menyampaikan ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah. Jemputan dari Pengetua MRSM Pasir Tumboh untuk membincangkan topik 'solat dari perspektif sains perubatan' telah saya manfaatkan sepenuhnya untuk mengajak adik-adik pelajar dan seluruh kakitangan MRSM untuk kembali mengingati tanggungjawab kita sebagai seorang hamba Allah. Kira-kira 1,000 pelajar dan kakitangan menghadiri program yang diadakan di surau MRSM ini bermula jam 12.00 tengah hari dan disudahi dengan solat zohor berjamaah. Seminggu sebelum ini saya sempat berkongsi sedikit maklumat berkaitan puasa dari perspektif sains perubatan ketika menyampaikan ceramah sempena program berbuka puasa MARA negeri Kelantan yang turut dihadiri Pengarah MARA negeri dan wakil dari ibu pejabat MARA Kuala Lumpur. Dalam ruang kesempatan yang ada saya tidak pernah ketinggalan untuk menyelitkan bagaimana pentingnya syariat Islam didaulatkan dan ditinggikan. Walaupun bergiat aktif dalam politik serta pernah diamanahkan bertanding dalam pilihanraya, tetapi hubungan baik yang telah diasaskan sejak sekian lama dengan beberapa jabatan dan agensi berkaitan masih terus dipupuk. Pegawai-pegawai tinggi serta eksekutif-eksekutif mereka yang telah mengenali hati budi saya tidak pernah menyenarai hitamkan saya untuk dijemput ke program-program mereka terutama di atas lesen seorang profesional.


Sebelum ini saya pernah muncul sebagai perunding motivasi dalam program Motivasi Pagi terbitan RTM 1 yang disiarkan jam 6.30 pagi setiap hari sebelum siarannya dihentikan. Masih diingat bagaimana penerbit rancangan tersebut meminta saya mengemukakan teks yang bakal saya bentangkan. Tetapi saya memaklumkan bahawa saya hanya menyediakan nota ringkas yang hanya boleh difahami oleh saya dan tidak menyediakan teks penuh. Oleh kerana program ini bukan disiarkan secara langsung, mereka bolehlah menapis semula isi kandungan ucapan saya, kalau sesuai bolehlah disiarkan, kalau tak sesuai potong atau abaikan saja dan saya tak akan berkecil hati. Ketika proses rakaman kali pertama sebanyak lima episod dirakamkan. Apabila disiarkan satu demi satu episod, saya memerhatikan dengan teliti kalau-kalau ada slot yang dipotong. Alhamdulillah, mereka menyiarkan sepenuhnya percakapan saya tanpa ada sedikit pun pemotongan. Mungkin bukan suatu yang pelik kalau saya katakan bahawa kebanyakkan pegawai-pegawai kerajaan di peringkat perlaksana dasar adalah simpati kepada perjuangan kita kalau pun tidak ahli atau penyokong kita. Mungkinkah ini tanda hayat UMNO-BN semakin ke penghujung...


Sebahagian pelajar dan kakitangan wanita MRSM yang sedang mengikuti ceramah

Friday, September 11, 2009

Ramadhan Seorang Anak Kecil



Anak sulongku yang dipanggil abang tekun menyiapkan kerja sekolahnya terutama pelajaran matematik yang sangat diminatinya
.

"Papa, kenapa kita mesti puasa?" Soal abang ketika Ramadhan hampir menjelang baru-baru ini. "Kerana kita hamba Allah dan puasa itu perintah Allah yang wajib dipatuhi. Allah ingin mengajar kita supaya ada rasa simpati terhadap sesama insan. Memang di rumah kita sentiasa ada makanan yang cukup, malah kadang kala berlebihan, tetapi abang mesti ingat ada lagi insan lain yang tak bernasib baik, tak ada makanan, kebuluran, kemiskinan dan berbagai lagi. Bila kita berpuasa, kita boleh turut sama merasai penderitaan orang lain terutamanya sesama Islam." Jelasku dengan kadar yang boleh difahami oleh seorang anak kecil sepertinya. "Kalau abang puasa penuh, papa nak bagi apa?" Naluri seorang anak kecil selalu mengharapkan penghargaan pada setiap yang dilakukannya. "Papa akan bagi RM10 sehari. Tetapi abang mesti puasa ikhlas kerana Allah bukan kerana duit RM10." "Kalau macam tu abang janji akan puasa penuh satu bulan, boleh dapat RM300, seronok tu." Abang benar-benar mengotakan janjinya. Bangun bersahur di waktu dinihari bukan suatu kesukaran baginya. Tambahan pula ketika awal Ramadhan sekolah sedang bercuti, memudahkan lagi aku berada dekat dengannya untuk sentiasa memberi semangat dan peransang.

Di peringkat awal Ramadhan aku juga telah memaklumkan kepada sahabat-sahabat di DUN untuk dikecualikan seketika dari program ihya' Ramadhan di cawangan-cawangan supaya aku dapat memperuntukkan sedikit masa bersama anak dan keluarga yang selalu ternanti-nanti saat-saat berharga ini. Ramadhan di tahun-tahun yang lepas, memang telah menjadi kelazimanku berulang-alik hampir setiap hari dari Kota Bharu ke Jabi untuk menghadiri program iftar dan tarawih di hampir keseluruhan cawangan di DUN. Kebetulan DUN Jabi mempunyai sebanyak 26 cawangan. Memang padat dan agak memenatkan.

Ketika hari-hari awal Ramadhan, ada juga kedengaran sungutan lapar dan dahaga. Tambahan pula dua orang adiknya yang nakal dan suka mengusik selalu mempelawa abangnya untuk makan bersama. Abang cuma mengurut-urut dadanya, "sabar... sabar... godaan..." ujarnya yang kadang-kadang telatah mereka bertiga cukup menghiburkanku. Membilang hari sudah menjadi kelazimannya. "Papa, berapa hari lagi tinggal? Abang rasa tubuh abang dah makin kuruslah." "Tak apa nanti lepas Ramadhan abang akan jadi gemuk semula." Pujuk umminya penuh kasih sayang.

Teringin juga aku membawanya bersama setiap kali ada program menziarahi masyarakat yang kurang bernasib baik. Aku ingin menyemainya dengan rasa kasih sayang kepada anak-anak yatim, orang-orang miskin dan rasa hormat kepada orang-orang tua. Walaupun kami hidup di bandar dan Allah mengurniakan kepada kami sekeluarga sedikit kelapangan rezeki tetapi aku inginkan anak-anakku berjiwa tawaddu' seorang manusia biasa dan tidak kekok dengan kehidupan kampung dan desa kerana di sinilah tanah tumpah darahku.

Ketika pulang dari menziarahi 9 anak yatim piatu di salah satu cawangan di DUN, ku tunjukkan kepada anak-anakku teratak uzur yang menjadi kediaman mereka
sambil menasihati supaya mereka selalu bersyukur dengan kurnian Allah kepada kita. Jangan sekali-kali membazir kerana membazir adalah kerja syaitan. Barang-barang yang tidak menjadi keperluan tak usah dibeli. Daripada membeli barang-barang yang tak perlu, lebih baik kita sedekahkan duit kepada mereka yang lebih memerlukannya. Melalui gerak hati seorang ayah, aku dapat merasakan bahawa anak-anakku memahami apa yang aku maksudkan. Aku ingin mereka membesar dengan jiwa seorang pembela dan pejuang. Prihatin dengan keadaan sekeliling. Tidak mementingkan diri sendiri. Sedar dengan kedudukan diri hanyalah seorang hamba Allah. Ketika membawa anakku membeli sedikit pakaian persiapan hari raya, pernah aku usulkan kepada abang, "bagaimana kalau kita belikan sama baju raya untuk anak-anak yatim yang papa tunjukkan gambar mereka kelmarin?" "Memang papa kena beli!" Jawab anakku tegas tanpa sebarang rasa irihati yang biasanya ada pada seorang anak kecil. "Kasihan mereka pakai baju buruk, mak tak ada, ayah pun tak ada." Hati kecilku berdoa. "Ya Allah, jadikanlah mereka semua anak-anak yang soleh, cahaya mata di dunia dan penyambung doa tika diri ini telah dijemput mengadap Allah."

Kehidupan di zaman yang serba mencabar ini menuntut kita memiliki seribu satu kekuatan dan ketahanan untuk kekal istiqamah dengan setiap tanggungjawab yang dipikul. Tanggungjawab terhadap Allah, tanggungjwab dengan masyarakat, tanggungjawab terhadap jamaah serta tanggungjawab terhadap keluarga yang semua ini dipikul dengan matlamat untuk mencari redha Allah. Kita memohon bimbingan dan kekuatan dari Allah untuk menghadapi semua ini.

Thursday, September 10, 2009

Teratak Buruk dan 9 Anak Yatim Piatu

Rumah pusaka peninggalan dua ibu bapa yang telah pergi mengadap Ilahi

"Ajal dan maut di tangan Allah. Sekalipun orang tersayang telah pergi meninggalkan kita, kehidupan tetap perlu diteruskan. Kita kasih kepada dua ibu bapa kita, tetapi Allah lebih menyayangi mereka. Ingat! adik-adik tidak akan keseorangan mengharungi kehidupan ini. Masih terdapat ramai insan-insan berhati mulia yang bersimpati. Pelajaran mesti diutamakan. Abang mesti ambil berat tentang pelajaran adik-adik. Ibu dan ayah yang telah pergi sebenarnya meninggalkan amanah di atas bahu kita."

Inilah antara bait-bait nasihat dan perangsang yang sempat saya berikan ketika mengunjungi untuk kali ke 2 ke rumah 9 anak yatim piatu yang kehilangan ibu kira-kira seminggu lalu setelah pemergian ayah kira-kira 4 tahun yang lalu di Kampung Jebak Puyoh dalam UPU Kerandang, walaupun dengan suara bergetar menahan sebak dan pilu di dada. Kebetulan ketika hadir untuk solat jenazah kira-kira seminggu yang lalu, saya tidak berpeluang mendekati anak-anak Allahyarhamah dengan lebih dekat. Jalan masuk ke kampung Jebak Puyoh yang becak dan berlubang

Setelah melalui jalan yang penuh becak dan berlubang seolah-olah seperti pemandangan dalam 'Filem Bukit Kepong' sedangkan kita telah 52 tahun merdeka. Janganlah kerana hampir keseluruhan penghuni Kampung Jebak Puyoh ini penyokong pembangkang, maka mereka seolah-olah terpinggir dan diketepikan dari arus pembangunan.

Ketika saya sampai kira-kira jam 3 petang kelmarin, ditemani Saudara Rosdi Ibrahim, Penolong Setiausaha DUN Jabi,Tuan Guru Haji Ismail Awang Teh, Pengarah DUN Jabi dan Tuan Haji Mustafa Samat, Ketua UPU Kerandang, abang sulong mereka berusia awal 20 tahun sedang bersiap untuk menjemput adik lelakinya dari Sekolah Kebangsaan Bukit Tempurung yang sedang menghadapi kertas terakhir UPSR. Tidak lama kemudian tiba adik perempuan yang sedang belajar di tingkatan 2 Sekolah Menengah Kebangsaan Jabi berjalan kaki dengan langkah longlai pulang dari sekolah. Adik bongsu lelaki berusia 6 tahun yang mungkin belum mengerti sepenuhnya apa yang berlaku sedang leka bermain-main dengan sepupu sebayanya. Seorang lagi anak lelaki arwah merenung sayu di pintu teratak usang melihat masa depan mereka adik-adik beradik yang penuh kesamaran.
Seorang anak lelaki Allahyarhamah merenung sayu dari pintu teratak buruk pusaka ini.

Mengikut makluman Tuan haji Mustafa Samat, rumah pusaka ini dibina secara gotong-royong oleh ahli-ahli PAS cawangan dan UPU Kerandang dengan bantuan kerajaan negeri ketika zaman pemerintahan PAS tahun 1999-2004 yang lalu. Anak-anak Allahyarhamah memaklumkan, selepas berlaku pertukaran kerajaan negeri tahun 2004, nasib mereka sekeluarga tidak pernah diambil peduli oleh YB Ramlan Ali, ADUN Jabi. Malah tidak pernah kelihatan beliau pernah menjejakkan kaki ke kampung tersebut. Sehinggalah apabila MB Ahmad Said dijadualkan mengunjungi keluarga tersebut kira-kira 3 hari lepas, Ramlan baru menampakkan muka prihatin yang penuh kepuraan datang memberikan taklimat itu dan ini kepada anak-anak Allahyarhamah sebagai persiapan untuk menyambut kedatangan Mad Said. Saya dimaklumkan sendiri oleh salah seorang anak lelaki Allahyarhamah bahawa Ramlan telah memintanya memaklumkan kepada Mad Said nanti bahawa rumah pusaka yang ada ini dibina dengan bantuan YB Ramlan Ali bukan dengan bantuan dan gotong-royong ahli-ahli PAS. Sungguh muka YB tak tahu malu! Saya juga dimaklumkan oleh anak-anak Allahyarhamah bahawa MB telah meluluskan peruntukan sebanyak RM30,000 untuk proses pengubahsuaian, khususnya untuk dibina bilik-bilik dirumah yang tidak berbilik ini dengan semua urusan berkaitan diserahkan kepada Ramlan. Saya berpendapat wang RM30,000 terlalu banyak untuk sekadar dibina bilik-bilik di rumah yang hampir runtuh. RM30,000 bagi saya cukup untuk dibina sebuah rumah baru yang lebih selesa bagi kediaman anak-anak yatim piatu ini. Kebimbangan saya kalau dari RM30,000 itu hanya sedikit yang digunakan untuk anak-anak yatim piatu, manakala bakinya lesap entah ke mana. Melihat kepada sikap Ramlan yang tidak berakhlak dan tak tahu malu, saya ingin memberikan amaran keras, jangan sekali-kali peruntukkan untuk anak-anak yatim piatu ini diselewengkan! Ingat! siapa yang makan harta anak-anak yatim, seolah-olah mereka telah memakan api neraka di dalam perut mereka.

Sebahagian dari anak-anak yatim piatu. Di Pangkuan saya adalah adik bongsu berusia 6 tahun.


Dikesempatan pertemuan itu juga, sempat saya berpesan kepada abang sulong mereka supaya pastikan urusan persekolahan adik-adik berjalan lancar. Kesulitan berkaitan bayaran yuran-yuran, buku-buku dan sebagainya akan kami usahakan untuk menyelesaikannya. Tuan Haji Mustafa Samat selaku orang tua yang dekat dengan mereka akan memerhatikan secara dekat, memberi tujuk ajar dan nasihat serta akan memaklumkan kepada pihak DUN apa-apa perkara berkaitan yang perlu diambil perhatian. Sekali lagi saya meyakinkan mereka bahawa mereka tidak akan dibiarkan bersendirian mengharungi semua kepayahan ini.
Apatah lagi mengenangkan arwah ibu dan bapa mereka walaupun dengan penuh kepayahan tidak pernah berundur walau setapak dari menyokong perjuangan Islam yang didokong PAS.
Sedikit sumbangan tanda simpati. Turut kelihatan Tuan Guru Haji Ismail dan Tuan Haji Mustafa Samat.



Sunday, September 6, 2009

Tingkatkan Jihad di Bulan Ramadhan

Penulis bersama Al Fadhil Ketua Ulama' PAS Pusat ketika program tazkirah sebelum majlis berbuka

Peperangan Badar yang berlaku pada tanggal pagi Jumaat 17 Ramadhan tahun ke 2 hijrah merupakan satu fasa penting dalam fasa-fasa perjuangan Islam kerana inilah peperangan besar pertama berlaku di dalam kalendar perjuangan Islam setelah ummat Islam diarahkan bersabar dan menahan diri dari bertindak balas di zaman Makiyyah dan di peringkat awal hijrah. Berdasarkan kaedah Usul Fiqh 'bertindak balaslah terhadap musuh sebagaimana mereka telah bertindak terhadap kamu' maka 313 tentera Islam telah keluar dengan tujuan untuk menyekat rombongan perdagangan Quraisy pimpinan Abu Sufian sebagai satu langkah penting untuk melumpuhkan kekuatan ekonomi musuh. Allah telah mentakdirkan bahawa bukan rombongan perdagangan Quraisy yang mereka hadapi tetapi 1300 bala tentera lengkap bersenjata yang datang dari Mekah pimpinan Abu Jahal dan turut disertai sama oleh pemuka-pemuka Quraisy, Umayyah bin Khalaf, Utbah bin Rabi'ah, Syaibah bin Rabi'ah dan Al Walid bin Utbah. Walaupun berdepan dengan keadaan yang sama sekali tidak dijangka, para sahabat telah menunjukkan keteguhan semangat jihad yang luar biasa. Miqdad Al Aswad menyatakan pendiriannya: " Ya Rasulullah, teruskanlah apa yang telah ditentukan Allah kepada kamu, demi Allah yang telah membangkitkan kamu dengan kebenaran, kami akan terus bersama kamu. Demi Allah kami tidak akan berkata kepada kamu sebagaimana kaum Bani Israel berkata kepada Nabi Musa. Wahai Musa, pergilah kamu berperang bersama-sama tuhan kamu, kami ingin duduk di sini sahaja tetapi kami akan berkata kepada kamu wahai Muhammad, pergilah kamu berperang bersama-sama tuhan kamu dan kami akan turut serta berperang bersama kamu..."

Inilah diantara intipati tazkirah Ramadhan sempena program iftar jama'ie peringkat DUN Jabi yang disampaikan oleh al fadhil YB Dato' Haji Harun Taib ketua Dewan Ulama' PAS Pusat merangkap Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu. Program tahunan yang diadakan di Pejabat Majlis Tindakan DUN Jabi meriah dengan kehadiran pimpinan-pimpinan dan ahli-ahli yang mewakili hampir keseluruhan cawangan di DUN Jabi. Turut hadir juga pimpinan PAS Kawasan Setiu termasuk Ustaz Mohd Pauzi Muda, YDP PAS Kawasan dan Saudara Aminuddin Ummat, Setiausaha PAS Kawasan.

Ketika menghuraikan fasa-fasa perjuangan Islam yang panjang, Dato' Harun Taib turut menekankan peri pentingnya ukhuwwah Islamiyyah dirapatkan untuk membentuk kesepaduan saf dalam perjuangan. Dengan mengambil contoh bagaimana kasihnya sahabat-sahabat dari kalangan Ansar kepada golongan Muhajirin ketika berlakunya peristiwa hijrah. Harta, wang malah sehingga isteri sekalipun sedia untuk ditawarkan kepada saudara seagama mereka yang telah meninggalkan segalanya yang mereka miliki di Mekah demi untuk menyahut seruan hijrah. Persaudaraan dan kasih sayang yang dipupuk kerana Allah inilah telah membawa kepada pembentukan suatu masyarakat hebat yang tertulis dalam sejarah ketamaddunan manusia.

Turut disentuh, bagaimana perjuangan Islam juga tidak akan berjaya tanpa pengorbanan para pendokongnya, samada pengorbanan masa, tenaga, harta malah nyawa dan darah sekalipun. Tokoh-tokoh korporat Islam di zaman Rasulullah s.a.w seperti Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf telah menunjukkan jalan terbaik bagi kita bagaimana kekayaan yang mereka miliki dimanfaatkan sepenuhnya demi meninggikan agama Allah sehingga di dalam satu peperangan Syaidina Uthman secara berseorangan telah mendermakan 300 ekor kuda lengkap dengan segala peralatan perang. Bermakna Islam sama sekali tidak pernah menghalang penganutnya memiliki kekayaan, asalkan kekayaan dimiliki dengan cara yang betul dan dibelanjakan mengikut cara yang betul. Ibarat sungai yang jernih di bahagian hulu dan kekal jernih hingga tiba di kuala. Sekiranya sumber sungai tersebut keruh di bahagian hulu, air yang tiba di kuala juga akan turut keruh. Suatu kerugian apabila ummat Islam tidak memiliki tokoh-tokoh usahawan hebat yang mampu memberi sumbangan kewangan demi menampung usaha perjuangan Islam.

Serentak dengan program iftar jama'ie, turut diadakan juga pada malamnya program menghayati peristiwa Nuzul Quran di Cawangan Gong Pasir yang dihadiri oleh Al Fadhil Dato' Haji Husin Awang, Ketua Dewan Ulama' PAS Negeri.


Wednesday, September 2, 2009

Ramadhan Bulan Kebajikan


Manusia menjadi hamba kepada budi. Inilah antara bunyi bait-bait pepatah Arab. Ditambah lagi kalau kita berbudi ketika mereka sangat-sangat memerlukan. Ramadhan memang mendidik kita untuk sentiasa menyemai rasa kebersamaan antara sesama insan. Memang fitrah Allah menjadikan manusia dengan nasib yang tidak sama, ada yang berada dan ada yang memerlukan huluran bantuan tetapi kita diikat dengan kebersamaan aqidah dan kesatuan wadah perjuangan. Lantas, jangan sekali-kali kita membiarkan jiran sekeliling kita tidur dalam kelaparan sedangkan kita tidur dengan perut yang penuh makanan. Antara contoh kebajikan paling mudah untuk kita praktikkan, hanya perlu kita memperuntukkan kira-kira RM10 sebulan dan dengannya dibeli beberapa kilo gula dan dihantar kepada mereka yang memerlukan. RM10 di zaman ini sudah terlalu kecil nilainya dan gula adalah barang yang paling mudah dibeli tetapi apakah bakti semudah ini pernah kita laksanakan?


Saya pernah terserempak dengan seorang penduduk DUN Jabi yang datang ke sebuah kedai runcit hanya untuk membeli sekilo beras. Suatu yang agak jarang boleh dijumpai sekarang. Dengan penuh rasa simpati, saya meminta tuan kedai memberinya satu paket beras 10 kilo sambil bertanya kalau-kalau dia masih ada keperluan-keperluan lain yang mendesak. Pemberian saya yang tak seberapa diterima dengan berkali-kali ucapan terima kasih. Naluri seorang hamba Allah yang pernah melalui kehidupan sukar di zaman kanak-kanak dan alam persekolahan menjadikan saya mudah tersentuh dengan keadaan sebegini.


Anak-anak yatim dan balu-balu adalah antara kelompok saudara kita yang perlu diberi perhatian khusus sepanjang Ramadhan apatah lagi saat menjelang Idil Fitri. Walaupun tidak dinafikan ada anak-anak yatim dan balu-balu berlatar belakangkan keluarga yang agak berada tetapi tumpuan kita adalah mereka yang tidak berada. Saya telah meminta Dewan Muslimat DUN untuk sentiasa memastikah data base senarai anak-anak yatim sentiasa dalam keadaan terkini dan dikemas kini. Sambil bergurau, walaupun sebenarnya bermaksud serius, saya menyatakan: "Jangan sekali-kali kita membiarkan seorang anak yatim menangis di pagi raya kerana melihat teman-temannya berpakaian baru sedangkan dia tidak mampu memilikinya." Teringat hadis Nabi s.a.w yang kira-kira maksudnya: "Barang siapa yang mengusap kepala anak yatim dengan penuh kasih sayang nescaya dikurniakan kepadanya pahala sebanyak bilangan rambut yang disentuhnya."


Dalam banyak hal dan keadaan, kita tidak perlu terlalu berpolitik. Masyarakat ingin melihat bagaimana kita mampu berbakti walau dalam keadaan serba kekurangan. Bakti yang dicurah perlu kepada kejujuran, kesungguhan dan keikhlasan serta berterusan walaupun tak seberapa dari segi nilaian fizikal. Pengalaman menjadi calon dan berkempen ke serata ceruk kampung ketika PRU 12 membolehkan saya membuat rumusan bahawa masyarakat tidak lagi melihat keikhlasan kita membawa hamper itu dan ini untuk disumbangkan ketika tempoh kempen kerana telah terang lagi bersuluh, maksud kita adalah untuk meraih undi! Kalau kita ingin dekat di hati rakyat, kita perlu bersama mereka, samada ketika ketawa atau menangis mulai sekarang dan tiada penghujung. Rakyat perlu disantuni. Tunjukkan simpati kita, ketika mereka menerima musibah atau ujian Allah walaupun dengan sekadar salaman dan pelukkan yang penuh keluhuran dan persaudaraan serta sebaris nasihat supaya mereka bersabar. Kita tidak boleh sama sekali berlagak seperti pegawai tinggi kerajaan yang menunggu rakyat datang ke pejabat menemui kita untuk mengadu itu dan ini tetapi kita perlu menjadi sebahagian dari masyarakat dan hidup menempuh suka dan duka bersama mereka.

Tutur kata yang baik serta sedikit buah fikiran yang membantu ke arah jalan penyelesaian sesuatu masalah juga antara buah-buah kebajikan yang akan dikenang. Teringat kisah seorang ketua cawangan di DUN Jabi di mana anak lelakinya yang bekerja sebagai nelayan laut dalam di Kuantan telah ditahan oleh Tentera Laut Indonesia kerana dikatakan telah menceroboh perairan negara jiran itu. Saya berbangga apabila diri insan kerdil ini dijadikan tempat mengadu dan meminta pandangan setelah lebih sebulan tiada sebarang khabar berita diterima dari anaknya. Berbekalkan sedikit pengetahuan dalam hal-hal yang berkaitan urusan diplomatik saya mengajaknya bertemu dengan pihak berkuasa yang berkaitan disamping tidak lupa diselitkan kata-kata peransang, InsyaAllah, anaknya akan kembali dengan selamat. Alhamdulillah, menjelang Ramadhan, doa dari seorang ayah dimakbulkan Allah. Anaknya telah kembali kepangkuan keluarga. Saya tentunya turut bersyukur kepada Allah.


Malam tadi saya berkesempatan berkunjung ke cawangan tersebut untuk sama-sama menunaikan solat isyak dan solat tarawih serta berpeluang memberikan sedikit tazkirah berkaitan tanggungjawab kita sebagai seorang hamba terhadap Allah, tuhan yang telah menciptakan kita. Jelas wajah kecerian ketua cawangan menyambut kehadiran saya. Wajah ceria inilah yang telah menghilangkan segala kepenatan dan kelesuan, kerana setiap kali saya pulang dari Kota Bharu ke Jabi untuk solat tarawih di cawangan-cawangan, saya perlu bertolak dari rumah selewat-lewatnya jam 6.30 petang lantaran kesesakkan lalu lintas yang biasanya berlaku di petang Ramadhan dengan dibekalkan sedikit makanan berbuka oleh isteri tersayang. Jarak yang agak jauh tidak memungkinkan saya bertolak selepas waktu berbuka kerana pastinya saya tidak akan sempat sampai untuk solat isyak dan tarawih bersama mereka. Walaupun anak sulongku yang baru belajar berpuasa sering merungut kenapa papanya selalu tiada bersama di meja makan sewaktu berbuka. Berbekalkan sedikit makanan itulah, saya akan berhenti di mana saja di tepi jalan bila azan maghrib berkumandang, menjamah sedikit makanan di dalam kereta seorang diri dalam keadaan jalan Kota Bharu - Kuala Terengganu yang sudah agak lengang dan sunyi lantaran masing-masing sedang mengadap hidangan bersama keluarga di rumah. Kadang-kadang dengan linangan air mata mengenangkan bagaimana keadaan sahabat-sahabat nabi s.a.w berseorangan di tengah-tengah kesunyian padang pasir ketika memikul tugas menyebar risalah agama Allah. Sungguh hebat pengorbanan mereka, sambil hati ini bertekad, aku juga ingin menuruti jejak langkah mereka menjadi seorang pejuang yang berbakti demi agama Allah...

Monday, August 31, 2009

Merdeka!


Kelmarin 31 Ogos 2009, genaplah 52 tahun negaraku merdeka dari belenggu penjajahan setelah lebih kurang 4 abad penjajah silih berganti menjarah kemakmuran bumi Tanah Melayu. 4 abad menjadi bangsa yang dijajah dan 52 tahun sebagai bangsa merdeka adalah satu nisbah jangka masa yang sangat jauh bezanya. Tambah menyedihkan lagi apabila kenyataan yang ada di hadapan mata jelas menunjukkan bangsa kita masih belum merdeka sepenuhnya. Secara fizikalnya memang 'orang putih' telah keluar dari negara kita, tetapi apakah mereka tidak meninggalkan pewaris dari kalangan anak bangsa yang mewarisi pemikiran, budaya, sosial dan keagamaan dari mereka. Mengingat ungkapan seorang pemimpin Inggeris ketika mereka meninggalkan bumi Mesir. "Kita tidak pernah merasa bimbang dan sangsi untuk meninggalkan tanah jajahan kita, kerana kita tidak pernah meninggalkan mereka sama sekali lantaran pemikiran kita telah kita semai dan berakar umbi di jiwa anak watan. Mereka berbangsa dan berketurunan anak watan, tetapi bertindak dan berfikir seperti kita."

Cuti hari merdeka kelmarin telah aku manfaatkan sepenuhnya, mengambil prihatin keadaan masyarakat DUN Jabi yang pernah mengundiku ketika PRU 12 walaupun Allah belum mengurniakan kemenangan tetapi kesinambungan perlu dipastikan berterusan. Dengan rasa sangat berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang sentiasa memaklumkan tentang sakit demam, kematian atau kenduri-kendara yang berlaku di DUN. Kebetulan kelmarin ada satu kematian seorang muslimat di Kampung Jebak Puyuh, Cawangan Kerandang, sebuah Cawangan PAS yang diketuai seorang veteran yang gigih, Tuan Haji Mustafa Samat dibantu oleh sahabat saya Saudara Nizam Latif sebagai setiausaha. Kampung Jebak Puyuh yang dikelilingi ladang getah dengan penduduknya hidup secara sederhana bersumberkan sumber pendapatan sebagai penoreh getah, pesawah dan bekerja sendiri.

Allahyarhamah meninggalkan sembilan anak yatim piatu setelah suaminya meninggal dunia 4 tahun lepas. Melihat keadaan kehidupan mereka, kepiluan menusuk di hatiku. Wajah-wajah sayu anak-anaknya yang mungkin telah kering air mata tak luput dari ingatanku sehingga terbawa ke dalam tidurku yang telah lama tidak mengenal istilah nyenyak. Aku juga pulang dengan satu tekad untuk menjayakan penubuhan tabung kebajikan DUN yang tidak pernah wujud sebelum ini. Mudah-mudahan dana sumbangan sahabat-sahabat yang mempunyai sedikit kelebihan rezeki kurnian Allah dapat memberi secebis kecerian kepada mereka yang memerlukan.

Setelah 52 tahun merdeka, DUN Jabi khususnya dengan 99.18% pengundi melayu dan Parlimen Setiu amnya dengan 99.39% pengundi Melayu, antara kawasan dengan peratusan pengundi melayu tertinggi di Malaysia, masih merupakan antara kawasan paling lambat membangun dan masih dibelengu masalah kemiskinan. Kisah-kisah keluarga yang masih mendiami rumah yang dibasahi hujan lantaran kebocoran atapnya masih banyak dipaparkan di dalam media. Masih ada anak-anak yang tidak dapat merasai nikmat mendapat pendidikan di sekolah lantaran kemiskinan keluarga. Masih ada manusia melayu Islam yang terpaksa mengalas perut dengan ubi kayu dan biskut kerana tidak mempunyai wang untuk membeli beras walaupun zaman penjajahan Jepun telah lama berlalu. Masih ada yang makan nasi berlaukkan minyak sisa goreng ikan. Semua ini pernah dilaporkan di dalam media arus perdana yang sama sekali tidak memihak kepada pembangkang. Semua ini seolah-olah tersembunyi di sebalik kilauan projek-projek mega yang sama sekali tidak dapat dinikmati oleh rakyat marhaen seperti Monsun Cup, Masjid Kristal, Taman Tamaddun Islam, Kompleks Sukan Gong Badak (walaupun akhirnya runtuh menjelang setahun selepas perasmian), pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan pelbagai lagi projek yang hanya sekadar mampu ditonton oleh mereka.
Projek terbengkalai Jerteh Souq mula dinaiki semak samun
Dalam masa yang sama terdapat individu-individu yang tentunya terdiri dari kroni-kroni rapat pemimpin politik terus membina kekayaan peribadi, membina rumah-rumah yang layak digelar istana. Dikhabarkan kontraktor yang membina projek Jerteh Souq yang terbengkalai adalah kontraktor dari daerah Setiu yang mempunyai hubungan rapat dengan bekas MB Idris Jusoh. Projek yang hanya siap sekitar 45% kini mula dinaiki semak samun walaupun sumber yang boleh dipercayai memaklumkan kontraktor tersebut telah menerima 55% bayaran dari nilai keseluruhan projek RM75 juta.

Ketika dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Jabi pada petangnya, satu sms melalui khidmat berita sebuah akhbar harian melaporkan mulai esok (hari ini 1 September 2009) petrol RON 95 yang mengantikan RON 92 akan dijual pada harga RM1.80 seliter berbanding RM1.75 sebelum ini manakala RON 97 pada harga RM2.05 berbanding RM1.80 sebelum ini. Satu lagi 'Projek kerajaan Barisan Nasional' untuk rakyat sempena hari merdeka. Tanpa sebarang ura-ura dan spekulasi serta setelah berkali-kali rakyat menolak mereka dalam pilihanraya kecil di semenanjung sehingga mencecah angka 7-0 ternyata pemimpin-pemimpin BN masih tidak dapat belajar memahami aspirasi dan kehendak rakyat. Benarlah kata Pak Samad Said. Pemimpin-pemimpin UMNO-BN dari spesis berlidah dua bertelinga satu. Bila mereka bercakap, rakyat perlu dengar dan patuh tetapi bila rakyat bersuara mereka tidak perlu peduli. Lantas, kalau bahasa lidah dari rakyat terlalu sukar untuk mereka fahami, maka kita perlu mengajar mereka dengan bahasa undi di dalam pilihanraya.Ketika ekonomi rakyat meleset dan bakal berhadapan dengan hari raya Aidil Fitri, inilah hadiah kerajaan BN kepada kita.

PAS bersama dengan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat serta NGO prihatin telah beberapa kali membantah kenaikan minyak sehingga ramai antara mereka terpaksa bermalam dalam lokap.Inilah harga yang perlu dibayar oleh mereka yang berjuang demi rakyat marhaen...



Sunday, August 30, 2009

Kewajipan Membangun Jati Diri Ummat


Di dalam sistem ekonomi Islam, bekerja untuk mewujudkan jati diri ummat adalah merupakan aspek terpenting.

Dengan maksud ummat Islam hendaklah memiliki pengalaman, kecukupan, wasilah dan alat yang menjadikannya mampu mengeluarkan barangan yang mencukupi keperluannya dari segi material dan moral serta menampung kekurangan ketenteraan dan awam melalui jalan yang disebut oleh ahli fiqh sebagai fardhu kifayah.

Keperluan ini merangkumi semua ilmu, pekerjaan, pembuatan atau kepakaran yang menjadi keperluan manusia samada dalam urusan agama dan dunia mereka. Ummat Islam wajib diajar dan dilatih sehingga tidak wujud lagi orang Muslim yang menagih simpati orang lain dan mereka tidak dikuasai oleh ummat-ummat lain.

Tanpa sifat berdikari dan jati diri ini, ummat Islam tidak akan mengecapi nikmat kemulian yang telah ditentukan oleh Allah di dalam Al Quran:
"Kemulian itu hanyalah untuk Allah, Rasulnya dan orang-orang yang beriman." (al-Munafiqun:8)
Tanpanya juga kita tidak akan mencapai kemerdekaan dan kepimpinan sendiri sepertimana yang disebut oleh al Quran:
"Allah tidak akan sekali-kali memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang yang beriman." (al-Nisa:141)

Tanpanya ummat Islam tidak akan menjadi tiang seri dunia. Tiada kemulian bagi ummat yang senjatanya adalah buatan orang lain, yang dijual kepada kita banyak mana yang mereka suka, bila masa mereka mahu dan syarat apa yang mereka suka.

Tiada kemulian bagi ummat yang bergantung kepada pakar-pakar asing dalam perkara-perkara khusus, merbahaya dan rahsia.

Tiada jati diri bagi ummat yang tidak memiliki kuasa pertanian atas tanahnya sendiri, atau tidak mempunyai ubat-ubatan untuk para pesakitnya dan tidak mampu membangunkan industri beratnya, sebaliknya hanya mengimport alat-alat serta kepakaran dari luar.

Tiada jati diri bagi ummat yang tidak dapat menyampaikan dakwahnya melalui kalimah-kalimah yang dapat dibaca dan didengar atau dilihat melainkan dengan membelinya dari orang luar yang berkemampuan kerana kita sendiri tidak mempunyai stesen radio, televisyen apatah lagi satelit.

Bagaimana Jati Diri Diwujudkan

Suka saya merumuskan secara ringkas seperti berikut.

Pertama: Merencana.
Kita memerlukan kepada perencanaan yang berdasarkan kepada data statistik yang terperinci, angka-angka yang tepat, maklumat-maklumat yang diperlukan serta tahap-tahap kepentingannya. Kita juga hendaklah mengenalpasti sejauh mana kemampuan yang ada, keupayaan untuk mengembangkannya serta prasarana-prasarana yang mudah untuk memenuhi keperluan.

Al Quran telah memaparkan kepada kita contoh perancangan yang menjangkau lima belas tahun yang dilakukan Nabi Yusof a.s. Berbekalkan perancangan yang meliputi pengeluaran, deposit, penggunaan dan pengedaran ini, beliau berjaya menghadapi krisis makanan dan kemarau panjang yang menimpa Mesir serta negeri-negeri sekitarnya.

Kedua: Menyediakan Sumber Tenaga Manusia Serta Mengagihkannya Dengan Bijak

Allah telah memberikan panduan:
"Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang beriman pergi semuanya ke medan perang. Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan antara mereka beberapa orang untuk memperdalamkan pengetahuan mereka tentang agama supaya mereka dapat memberikan peringatan kepada kaum mereka apabila mereka telah kembali agar mereka berjaga-jaga." (al-Taubah:122)

Menjadi kewajipan ke atas ummat Islam supaya memajukan sistem pengajaran dan latihan serta menyediakan tenaga dan kemampuan manusia yang pelbagai yang mampu diserapkan ke dalam pelbagai bidang keperluan.

Kita juga hendaklah meletakkan seseorang itu pada posisi yang sesuai dengannya. Rasulullah telah memberikan peringatan kepada kita tentang bahaya memberikan tugas kepada orang yang tidak berkelayakkan. "Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah saat kehancuran."

Ketiga: Menggunakan sumber semulajadi dengan bijak.

Islam menentang keras ummatnya yang membiarkan aset yang bernilai terbiar begitu sahaja tanpa dimanfaatkan. Menggunakan sumber-sumber ekonomi dan keupayaan material dengan bijak serta tidak membiarkan sesuatupun tanpa digunakan serta memeliharanya adalah suatu amanah wajib yang perlu dilaksanakan dan nikmat yang wajib disyukuri.

Rasulullah telah mengingatkan kita kewajipan memanfaatkan barangan yang sekalipun bernilai rendah dan dipandang hina oleh manusia. Pada suatu hari rasulullah melewati suatu kawasan yang terdapat bangkai kambing biri-biri lalu Rasulullah bersabda kepada pemiliknya: "Kenapakah kamu tidak mengambil kulitnya (kemudian disamak) sehingga kamu dapat memanfaatkannya, sesungguhnya yang diharam adalah memakan dagingnya."

Keempat: Membuat penyelarasan antara sektor-sektor pengeluaran.

Kita berkewajipan membuat penyelarasan antara pelbagai sektor pengeluaran agar tidak berlaku pertindihan antara sektor dengan mengabaikan satu sektor semata-mata kerana memberi perhatian kepada sektor yang lain. Tidak elok umpamanya kita hanya memberi perhatian kepada sektor pertanian sementara dalam masa yang sma kita mengabaikan sektor perindustrian atau sebaliknya. Adalah tidak bijak sekiranya di dalam sektor pendidikan, kita hanya menumpukan kepentingan untuk mengeluarkan para doktor tanpa memberi perhatian untuk mengeluarkan para jurutera. Atau kita hanya mementingkan bidang kejuruteraan mekanikal dan mengabaikan bidang kejuruteraan elektronik atau nukleur...
Atau kita hanya mementingkan aspek teori dan intelektual sementara aspek amali dan kemahiran dibiarkan terbengkalai dan seterusnya...

Selaras dengan ini, kita tegaskan di sini tentang keperluan perencanaan berdasarkan kepada kajian statistik untuk mengetahui keperluan masyarakat dalam setiap bidang pekerjaan untuk memenuhinya serta untuk mengetahui aspek-aspek kekurangan untuk melengkapinya.

Wednesday, August 26, 2009

Kenyataan media Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang- Isu Hukuman Sebat




Isu hukuman sebat kepada pesalah minum arak telah menarik perhatian pelbagai pihak untuk memberikan pandangan dan komen masing-masing.

Hukuman yang dirujuk sebagai pelaksanaan hukum Islam di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 enakmen sama (pindaan 1987) sebenarnya masih tidak mengikut prinsip syarat hukum Islam yang sebenar.

Di bawah hukum Islam, kesalahan meminum arak adalah diletakkan di bawah hukum hudud, iaitu satu hukum yang dinaskan mengikut Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Apabila asasnya adalah nas, maka ia adalah aspek agama Islam yang wajib untuk dilaksanakan kepada penganutnya – kerana ia berkait dengan tanggungjawab antara manusia dengan Tuhan, antara dosa pahala serta pembalasan di hari akhirat.

Jika bersandarkan kepada nas, maka hukuman ke atas peminum arak untuk penganut Islam setelah sabit kesalahan ialah sebatan antara 40 hingga 80 rotan jumlahnya.

Apa yang paling penting untuk difahami ialah cara sebatan yang dilaksanakan di dalam penjara sekarang adalah sangat berbeza dengan kaedah sebenar hukum Islam, kerana mengikut Islam sebatan ini perlu mengambil kira keadaan dan kesihatan pesalah, selain dari memastikan pesalah dalam keadaan sepenuhnya berpakaian menutup aurat.

Alat sebatan dan kaedah merotan hendaklah juga sederhana, antaranya bila sebatan dilaksanakan tangan tidak boleh diangkat sehingga menampakkan ketiak.

Sebatan juga tidak boleh sampai mencederakan, dan sebatan dilakukan di beberapa tempat pada badan dan bukannya pada satu tempat sahaja.

Dalam Islam, hukuman ini bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta mendidik masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan perbuatan itu lagi.

Aspek pencegahan inilah yang perlu ada dalam melaksanakan hukuman dalam undang-undang Islam. Ia memerlukan pindaan supaya proses undang-undang Islam yang adil dapat dilaksanakan.

Oleh yang demikian, kita meminta supaya pihak berkuasa tidak gopoh dalam pelaksanaan itu sehingga memberi gambaran salah mengikut syariat Islam.

Dalam masa yang sama kita berharap supaya wanita yang disabitkan itu bertaubat kerana Allah Maha Pengampun dan Penyayang.

Apa yang seharusnya berlaku ialah arak haruslah di haramkan penjualannya secara menyeluruh terlebih dahulu kepada semua orang Islam. Masyarakat dan kerajaan juga perlu dididik supaya faham bahawa arak adalah haram di sisi agama Islam.

Haramnya arak adalah tidak mengira tempat – sama ada restoran kecil atau besar, atau hatta di dalam rumah sendiri.

Menjalankan hukuman terhadap peminum arak tanpa menghapuskan puncanya – adalah seumpama menghadapi nyamuk Aedes dengan menamparnya sahaja, tetapi longkang-longkang dibiarkan berselerak sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk yang membawa denggi!

Monday, August 24, 2009

ISLAM DAN KEBEBASAN


Kebebasan adalah antara nilai kemanusian yang diberi perhatian oleh Islam. Kebebasan dapat melepaskan manusia dari pelbagai bentuk tekanan, paksaan dan penghinaan serta menjadikan manusia sebagai khalifah yang menguruskan muka bumi Allah dan menjadi hamba kepada tuhan yang maha esa.
Masjil Aqsa menjadi saksi pencabulan terhadap nilai kemanusian, kebebasan dan bagaimana ummat Islam dizalimi baik ketika penawannya oleh tentera salib atau era penjajahan Yahudi.
Rangkuman kebebasan di dalam Islam meliputi kebebasan beragama, kebebasan berfikir, kebebasan berpolitik, kebebasan sivil dan semua kebebasan yang hakiki.

Apa yang dimaksudkan dengan kebebasan beragama ialah kebebasan beriktiqad dan kebebasan melakukan ibadat. Islam sama sekali tidak menerima tindakan memaksa seseorang untuk meninggalkan agama yang direlakan dan dianutinya atau memaksa seseorang menganut mana-mana agama yang tidak direlakannya. Nas-nas Al Quran dengan jelas menegaskan perkara ini. Firman Allah bermaksud: "Apakah kamu memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya." Yunus :99.

As Syahid Syed Qutb menegaskan dengan syarat mereka yang bukan Islam mestilah dibebaskan dari semua tekanan untuk menerima dakwah Islam. Setelah dakwah Islam dibentangkan kepada mereka, mereka diberi kebebasan untuk memilih. Sekiranya jalan dakwah dihalang atau disekat, maka ummat Islam perlu bangkit untuk membersihkan segala halangan yang menganggu perjalanan dakwah sekalipun perlu mengangkat senjata. Tegas Syed Qutb lagi, kebebasan beragama bukan bermakna kita hanya sekadar perlu berpeluk tubuh tanpa melakukan apa-apa. Berpeluk tubuh tanpa melakukan apa-apa ,ini pandangan orang yang lemah jiwa dan dan imannya.

Sesiapa sahaja dari agama-agama lain yang berada di bawah tanggungjawab negara Islam mendapat hak serta mempunyai tanggungjawab sepertimana warganegara Muslim secara umumnya kecuali perbezaan tertentu yang terdapat pada agama. Tidak difardhukan ke atas mereka semua yang difardhukan ke atas ummat Islam dan tidak diharamkan ke atas mereka semua yang diharamkan ke atas ummat Islam.

Masih saya ingat perbincangan dengan seorang teman sekuliah beragama Kristian ketika menuntut di University Baghdad dulu. Menjadi kesukaannya untuk mengajak saya berbincang tentang perbezaan antara Islam dan Kristian. Topiknya jelas, dia mengatakan Kristian lebih baik dan saya tentunya, walaupun dibunuh akan mengatakan Islam lebih baik! Kedangkalan pemikirannya terserlah apabila sering tidak dapat membezakan antara kesyumulan Islam dengan realiti semasa ummat Islam di Iraq yang ketika itu berada di bawah sekatan ekonomi selepas perang teluk 1990. Selalu diajukan kepada saya kenapa ummat Islam mundur, banyak terlibat dengan jenayah, kemiskinan, kemelaratan, di hadapan masjid ramai peminta sedekah, anak-anak yatim tinggalan mangsa-mangsa perang terbiar, balu-balu terpaksa merempat memohon simpati orang ramai dan berbagai lagi imej negatif yang cuba ditimbulkan. Sebagai bandingan, digambarkan orang-orang Kristian yang kebanyakkannya berbangsa Asyur, suatu kelompok minoriti di Iraq hidup dengan taraf sosial yang tinggi. Kebanyakkan mereka berpendidikan, anak-anak yatim diuruskan oleh institusi gereja, tidak ramai yang terlibat dengan jenayah, tidak ada penganut Kristian yang menjadi peminta sedekah dan pelbagai lagi imej positif yang cuba ditonjolkan.

Berdepan dengan keadaan ini, saya selalunya menukar kembali arus perbincangan untuk kami berbincang tentang kesyumulan Islam dan dibandingkan dengan Kristian secara ilmiah dan cuba memandang lebih jauh keluar dengan melihat realiti ummat di dunia global secara menyeluruh.

Kamu sama sekali tidak boleh menyalahkan Islam di atas segala imej negatif yang kamu gambarkan berlaku kepada ummat Islam. Sebagaimana saya juga tidak berminat untuk menyalahkan Kristian (ungkapan sekadar untuk ambil hati teman saya) di atas segala imej negatif yang berlaku kepada ummat Kristian. Mari kita lihat apa yang berlaku di Bosnia Herzegovina sekitar 1992. Ratusan ribu ummat Islam disembelih oleh Kristian Ortodoks Serbia. Setujukah kamu kalau saya katakan, Kristian mengajar ummatnya supaya menyembelih orang lain! Tentu sekali kamu tidak bersetuju. Kita menoleh lebih jauh ke belakang. Ketika tentera Salib Kristian menawan Baitul Maqdis, lebih 70,000 ummat Islam disembelih. Setujukah kamu kalau saya katakan Kristian memang mengajar ummatnya menyembelih tawanan perang sedangkan sahabat-sahabat Muhammad s.a.w memberikan kepada tawanan-tawanan perang makanan yang lebih baik dari apa yang mereka makan. Teman saya terkedu. Tentu kamu bersetuju kalau saya katakan Agama Kristian tidak mengajar semua perbuatan ini tetapi ianya tetap dilakukan oleh penganut Kristian.

Begitu juga kami ummat Islam. Kalau kamu dakwa ummat Islam mundur kerana Islam, kamu silap. Islamlah agama yang membawa manusia ke arah tamaddun dan kemajuan. Malah di zaman kegemilangan Islam, Islam pernah membina tamaddun kemanusian, tamaddun ilmu, tamaddun kebendaan yang disebarkan hampir meliputi dua per tiga dari muka bumi Allah sehinga ke bumi Spanyol. Sejarah kristian sendiri tidak mencatatkan kegemilangan tamaddun yang mereka bina setanding dengan tamaddun Islam. Ummat Islamlah yang mempolopori berbagai kemajuan ilmu meliputi sains perubatan, matematik, kaji bintang, falak, kejuruteraan di samping ilmu-ilmu agama. Dengan penuh bangga saya maklumkan kepadanya kitab Falsafah Fi Tib (Falsafah Dalam Perubatan) karangan ilmuan Islam Ibnu Sina masih menjadi sumber rujukan utama di kolej-kolej perubatan barat sehingga sekarang. Kaedah Algebra yang diguna pakai di seluruh dunia sekarang ini diasaskan oleh ahli matematik Islam, Al Khawarizmi.

Kalau kamu dakwa ummat Islam pemalas kerana agamanya, juga kamu silap. Islam sangat menekankan konsep bekerja untuk mencari rezeki yang halal, sehingga Islam menyuruh ummatnya bekerja seolah-olah mereka akan hidup untuk selama-lamanya dan menyiapkan bekalan amal seolah-olah mereka akan mati esok. Malah di hari Jumaat, hari ibadat bagi kami, Allah masih menyuruh kami bertebaran di atas muka bumi bagi mencari rezeki kurnian Allah selepas menunaikan Solat Jumaat.

Kalau kamu dakwa ummat Islam ramai terlibat jenayah kerana Islam, juga kamu silap. Tidak ada hukuman jenayah yang lebih keras tetapi adil berbanding dengan hukum hudud di dalam Islam yang bertujuan untuk memelihara kehidupan manusia sejagat. Syariat Islam memelihara nyawa, maruah, harta, akal, keturunan dan agama. Ini lima perkara penting yang perlu dipelihara dan Islam mempunyai hukum-hukum untuk memelihara semua ini.

Saya tidak malu untuk mengakui semua imej-imej negatif yang kamu gambarkan berlaku kepada ummat Islam kerana mereka meninggalkan agama bukan kerana ketidak sempurnaan dalam syariat Islam. Zaman kegemilangan akan kembali apabila Islam kembali menjadi cara hidup kami. Kami tidak akan maju apabila meninggalkan agama kami tetapi kamu maju apabila kamu meninggalkan agama kamu.

Setelah memberikan penjelasan panjang lebar, kembali saya untuk berada di posisi menyerang. Mari kita melihat di dunia yang lebih global. Kamu golongan minoriti di sini, tetapi saya melihat kamu mendapat hak kamu dan dilayan dengan cukup baik. Kamu boleh mendapat pendidikan, membina gereja, beribadat, berpersatuan, melakukan kegiatan ekonomi, berpakaian seperti yang dikehendaki oleh agama kamu dan pelbagai lagi. Tahukah kamu bahawa apa yang kamu nikmati di sini tidak dinikmati oleh minoriti ummat Islam di Francis sebagai contoh. Gadis-gadis Islam tidak dibenarkan bertudung sekiranya ingin ke sekolah. Ulama' Islam seperti Syeikh Umar yang buta ditangkap di Amerika. Ummat Islam di bunuh di Rantau Balkan dan banyak lagi. Dalam hal ini kamu perlu menjawab dengan jujur, siapa yang lebih bertamaddun dan bertoleransi. Dengan penuh kepayahan dia menjawab, Kristian tidak pernah mengajar kami melakukan semua itu. Saya menegaskan, tetapi kamu bersetuju kalau saya katakan perkara ini dilakukan oleh ummat Kristian. Benar! tetapi mereka melakukan semua ini kerana mereka tidak memahami agama kami. Jawab teman saya. Lalu kalau begitu, kamu perlu berhenti dari menyalahkan Islam dari semua kekurangan yang berlaku kepada ummat Islam khususnya di Iraq.

Tetapi hakikat yang kita perlu sepakati, Islam agama yang mementingkan hak sesama manusia. Soal kebebasan tidak ada tolak ansur di dalam agama kami. Kebebasan beragama, kebebasan berfikir, kebebasan melakukan kegiatan ekonomi, kebebasan beribadat termasuk juga kebebasan berpolitik. Islam mengajar kami apabila kamu yang tidak seaqidah dengan kami tinggal di negara kami, kamu mendapat hak dan mempunyai tanggungjawab sepertimana warga Muslim secara umum kecuali perbezaan tertentu yang terdapat pada agama. Tidak difardhukan ke atas kamu semua yang difardhukan ke atas ummat Islam dan tidak diharamkan ke atas kamu semua yang diharamkan ke atas ummat Islam.

Memang, sehingga saya menamatkan pengajian pada tahun 1999, saya tidak berjaya mengislamkan teman baik saya ini, tetapi saya puas kerana dapat menjelaskan kepadanya hakikat Islam yang cuba diselindungi. Peperangan yang tidak berkesudahan di sana memutuskan hubungan kami. Tiada lagi khabar berita darinya. Namun saya tetap berdoa semoga suatu hari Allah akan memberi hidayah kepadanya. Amin...